• 5P1D Station x ETNT
  • Journey of Readers
  • Tiada Keimanan Pada Mazhab Speedreading
  • Tiada Keimanan Pada Mazhab Speedreading

    Entah kenapa dua tiga hari ini banyak pula Facebook menyuap saya dengan iklan speedreading. Maka benarlah kritik teknologi bahawa algorithma tidak dapat memahami manusia. Mungkin ada carian atau klik saya yang menjadi input salah bagi algorithma ini, tapi saya tidak mengingatinya.

    Saya tidak beriman (tidak percaya) dengan mazhadb speedreading. Saya tiada keinginan untuk membaca 52 buku sebulan. Bahkan saya ada berazam untuk mengabadikan satu tahun untuk membaca, mengkaji, dan menghadap hanya satu buku walaupun azam ini belum tertunai.

    Seperti falsafah Syed Hussein Alatas, bagi saya tujuan membaca bukan untuk membaca. Mungkin membaca 52 buku itu satu latihan bagi orang yang tiada kerja lain, tapi bagi saya yang berkeluarga, berkerja, dan bermasyarakat, 52 buku sebulan adalah mustahil. 

    Bukan mustahil secara material, ia boleh diperbuat tapi mustahil boleh dihadam, direnung, dikaji, dan diambil pelajaran. Dunia sekarang semua mahu cepat. Tetapi proses pembelajaran bukan begitu, masa adalah sebahagian kandungan dalam proses pembelajaran. Sebab itu saya kurang bersetuju dengan cadangan membuang subjek supaya cepat habis belajar. Apa guna cepat habis belajar tetapi tiada apa pun yang sebenarnya yang dipelajari.

    Membaca adalah proses menuntut ilmu. Ia memerlukan masa. Jika kedekut dan tak mahu memberi masa, usahlah membaca. Kerana membaca untuk membaca tanpa ada refleksi adalah kerja sia-sia. Ya, ada jenis membaca yang sia-sia. Sebab itu Chomsky mengatakan bahawa tiada guna seorang itu membaca jika dia melupakannya selepas 10 minit.

    Membaca memerlukan kita merenung. Ada kalanya kita sampai kepada satu idea yang memaksa kita untuk meletakkan dahulu buku. Sebab kita memerlukan masa untuk memikirkannya. Selepas difikir habis, baru layak kita membuka dan membacanya semula. Bukan tujuan membaca untuk berbangga dengan jumlah mukasurat, jumlah buku, atau saiz almari. Mempunyai banyak buku bukan bererti seseorang itu pandai, ia bererti dia mampu dari sudut ekonomi untuk membeli buku.

    Sebab itu pepatah Arab mengatakan “bagaikan keldai yang membawa kitab-kitab di atas belakangnya”. Walaupun dia membawa kitab, keldai itu tidak memiliki ilmu.

    Jadi janganlah terjerat dengan fahaman moden untuk membaca laju yang tidak berfaedah ini. Buku yang ditulis itu seeloknya dibaca dengan perlahan, diambil pelajarannya, dan diamal dalam kehidupan.

    Ditulis oleh: Syed Ahmad Fathi
    Gambar: Matthew Feeney, Unsplash 

    Previous Article

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *.

    *
    *
    You may use these <abbr title="HyperText Markup Language">HTML</abbr> tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

    Have no product in the cart!
    0