• 5P1D Station x ETNT
  • Al-Quran
  • Inspirasi Kerja Kuat, Bukan Biasa-Biasa
  • Inspirasi Kerja Kuat, Bukan Biasa-Biasa

    Kita semua memerlukan inspirasi untuk terus melakukan apa yang sedang kita lakukan. Kalau tidak, kita akan terus ketinggalan.

    Jadi, apa inspirasi kita?

    Saya nak kongsikan insipirasi yang saya dapat daripada sesi 15 minit bersama Datuk Dr. Mohd Daud Bakar pada siri yang ke-11.

    Kalau kita nak berjaya, kita tidak boleh menggunakan konsep kerja yang biasa-biasa.

    Nak jadi seorang penulis? Pembaca? Pendakwah? Atlit? Pensyarah? Guru? Ibu ayah? Suami isteri? Hatta menjadi anak-anak sekali pun tidak boleh sekadar biasa-biasa.

    Kita semua memerlukan konsep kerja yang luar biasa.

    Dan yang paling menarik bagi saya, konsep ini diambil daripada al-Quran dan bukannya daripada buku-buku motivasi.

    Nah, ini satu tamparan bagi kita. Kita sangka al-Quran hanya sekadar menunjukkan jalan ke akhirat ataupun sekadar mendapatkan pahala. Tidak, bukan begitu. Al-Quran menunjukkan kepada kita jalan untuk berjaya bukan sekadar di dunia, tetapi berjaya sehingga di akhirat.

    Al-Quran membawa mesej kepada kita bahawa sifat yang sentiasa perlu ada di dalam diri kita ialah bekerja kuat, berusaha bersungguh-sungguh, berlumba-lumba dan sentiasa mengambil tanda aras yang lebih tinggi pada setiap perkara yang kita lakukan.

    Inilah semangat yang dibawa oleh al-Quranul karim.

    Walaupun ada orang yang berjaya lebih tinggi daripada kita, itu bukan soalnya. Tetapi yang lebih penting ialah kita telah memberikan usaha yang paling tinggi dan yang paling maksimum kita boleh lakukan.

    Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

    وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُوا۟ فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا

    Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan.
    [Surah al-‘Ankabut : 69]

    Kata datuk, walaupun ayat ini terdiri daripada beberapa patah perkataan sahaja, namun gelombang yang cuba dibawa oleh ayat ini sangat menarik.

    Sekiranya kamu mampu melakukan jihad iaitu usaha yang berterusan, yang ada kesusahan, yang ada kesulitan, (لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا) – kami akan membuka kepada kamu ‘more than one solution’.

    Huruf lam disitu mahu menekankan atau menegaskan – kami pasti memberikan hidayah, petunjuk, jalan, ilham, pintu, solusi, dan apa sahaja lebih daripada satu jalan.

    Jadi, konsep melakukan kerja bersungguh-sungguh dan bertubi-tubi merupakan rukun kehidupan dalam agama kita.

    Kata datuk dari segi mantik – apabila kita berusaha bersungguh-sungguh, Allah akan membuka satu-satunya jalan untuk kita selamat.

    Tidak, itu bukan konsep rukun kehidupan.

    Rukun kehidupan bukan hanya satu jalan, satu cara, satu track, satu lorong, satu petak kehidupan, satu jenis pakaian, satu jenis pemikiran atau satu jenis dalam apa sahaja.

    Tetapi mempunyai banyak jalan. Itulah yang menariknya tentang agama kita ini.

    Inilah yang mungkin ‘missing in action’ dalam masyarakat kita hari ini.

    Rata-rata di sekolah, di masjid, di surau, di universiti, malah di dalam gerakan-gerakan Islam pun jarang ditekankan soal rukun kehidupan. Kita selalu ditekankan dengan rukun dakwah, rukun kefahaman, rukun itu dan ini tapi rukun kehidupan itu jarang ditekankan.

    Inilah isi kandungan al-Quranul karim yang jarang kita bongkarkan iaitu usaha yang berterusan, usaha yang bersungguh-sungguh, usaha yang tidak penat lelah kerana di dunia bukan tempat kita berehat.

    Kalau kita ada konsep dunia ini adalah tempat bekerja kuat-kuat dan hanya berehat di akhirat, itu pun dah cukup menjadikan kita seorang yang berbeza dari segi cara hidup dan cara kerja.

    Orang yang bekerja biasa-biasa pun bila mengamalkan konsep ini sudah cukup untuk mencetuskan seorang manusia yang baru.

    Apatah lagi dalam konteks kita sebagai seorang penulis, kita memerlukan masa yang banyak – banyak membaca, banyak memikir, dan banyak melakukan pengorbanan.

    Jadi, dalam ayat ini Allah sebutkan dengan bahasa yang tuntas iaitu menta’kidkan, mereconfirmkan bahawa pasti ada jalan keluar ataupun ilham, ataupun solusi yang Allah berikan kepada orang yang bekerja kuat dan yang bekerja habis-habisan.

    Jazakumullahu khaira datuk dan 5pages1day di atas ilmu dan platform yang diberikan.

    Ditulis oleh: Hakim Darno
    Program: MDB with Youths, sesi ke-11
    Gambar: Ian Stauffer, Unsplash 

    Next Article

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *.

    *
    *
    You may use these <abbr title="HyperText Markup Language">HTML</abbr> tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

    Have no product in the cart!
    0