• 5P1D Station x ETNT
  • Motivasi
  • Secawan Lemon Panas dari Ojiisan
  • Secawan Lemon Panas dari Ojiisan

    “Ohaiyou gozaimasu!” Ojiisan itu menegur kami. Bas yang menurunkan kami sudah semakin mengecil dari pandangan.

    “Ohaiyou!” Kami membalas dengan suara terketar-ketar. Salji yang turun semakin berkurangan, namun sejuknya masih terasa sampai ke tulang. Lagi-lagi apabila angin musim sejuk menyapa-nyapa manja tubuh kami.

    “Koko ni kite kudasai.” Mari sini. Ojiisan tersebut melambai-lambai ke arah kami. Kami memandang sesama sendiri.

    “Hai.” Dia beria-ia memanggil. Aku melangkah ke depan diikuti dengan yang lain. “Douzo, douzo!” Tangan tuanya pantas menyusun kerusi-kerusi di sekeliling meja bulat di tepi gerainya. Dia tersenyum sambil mempersilakan kami duduk. Kemudian, dia masuk di pondok gerainya dan keluar bersama beberapa cawan lemon panas dan beberapa kotak coklat.

    “Douzo!” Dia tersenyum. Kami teragak-agak hendak mengambilnya. Adakah kami sedang discam? Atau ada udang di sebalik batu? Sebagai backpackers, kami perlu berjimat. Harga makanan dan minuman di Jepun bukannya murah. Secawan minuman boleh mencecah 500 yen (lebih kurang RM20).

    It’s free.” Dia menundukkan sedikit badannya. “For fellow Malaysians.” Dia bersuara dengan Bahasa Inggeris bercampur loghat Jepun yang pekat. Isteri Ojiisan itu tersenyum mengangguk-angguk dari dapurnya.

    Setelah itu, barulah kami tahu rupa-rupanya Ojiisan menolong kami kerana dua faktor. Pertama, dia tahu kami dari Malaysia dan tidak biasa dengan cuaca sejuk. Kedua, dia pernah dibantu oleh seorang lelaki Malaysia yang tinggal di Jepun. Kebaikan lelaki itu masih dikenang sehingga sekarang dan membuatkannya tergerak untuk menolong kami.

    Subhanallah, kebaikan yang mencambahkan ranting-ranting kebaikan.

    Kebaikan sesederhana secawan lemon panas ternyata memberi makna yang besar bagi kami yang sedang menggigil kesejukan.

    ********
    Pernah suatu petang, ibu menerima iklan daripada jiran kami yang menjual susu segar. Harganya mahal sedikit daripada yang dijual di pasar raya. Lalu ibu terus memesannya; bukan satu tetapi tiga.

    “Tak apa. Kita niatkan sebagai sedekah. Dia tengah kesusahan tu. Anak dia sakit.” Balas ibu ketika aku mempersoalkannya.

    Namun petang itu, bukan tiga susu yang sampai, tetapi empat! Eh, siapa yang ingin sedekah kepada siapa ni?

    Keesokan harinya, aku memesan lagi dua kotak dengan niat unutk membantu perniagaannya. Dan petang itu, sampai dua kotak susu bersama lima biji karipap dan lima biji kuih kasturi.

    Allahu, sekali lagi kami kalah dengan fastabiqul khairaatnya! Di saat kita selalu berkira-kira untuk berbuat kebaikan, ada insan yang berlumba mengerjakannya dalam keadaan yang serba kekurangan sehingga kita terlepas peluang-peluang berbuat baik yang datang.

    ********

    Pernah tak kalian berasa sangat perlu kepada pertolongan tetapi malu untuk meminta? Namun tiba-tiba pertolongan datang tanpa disangka. Kadang kebaikan yang diberi itu kecil tetapi terasa bagai suatu keajaiban.

    Aku pernah mengalaminya. Hari ketika itu sangat panas. Matahari tanpa segan silu berdansa di atas kepala dengan tarian habanya. Aku perlu menapak ke kelas yang sejauh 1 km. Tak jauh mana, namun demam panas telah membuatkan setiap langkahan kaki terasa berat. Aku berjalan lambat-lambat, sambil berdoa perlahan. Aku hanya memandang lirih beberapa buah kereta meluncur laju melepasi aku. Tiba-tiba sebuah kereta berhenti di sebelah dan pemandunya iaitu seorang mahasiswa seperti aku, mempelawa aku untuk naik.

    Apa yang aku rasa?

    Terasa bagai satu keajaiban. Kejadian itu membuatkan aku terasa sakitku diringankan dan Allah Maha Mendengar rintihanku. Namun bagi pemandu tadi, kebaikan itu sangat sederhana. Dah alang-alang lalu.

    Balik dari kelas, aku termenung sendirian. Disebabkan kebaikan yang kadang bagi kita kecil tetapi boleh menjadi sangat bermakna bagi orang lain, maka dalam setiap tindakan kita, pilihlah untuk berbuat baik. Jadilah keajaiban-keajaiban itu. Jadilah sebahagian daripada tentera Allah untuk memudahkan urusan orang lain. Jadilah sebahagian daripada jawapan doa-doa yang mereka panjatkan kepada Tuhan.

    Kadangkala, rezeki dan doa-doa kita terjawab disebabkan kebaikan-kebaikan kecil yang kita sendiri lupa. Hal ini demikian kerana pada setiap kebaikan, ada buah-buahnya. Meskipun kita lupa, Allah tidak lupa.

    Musa a.s yang sedang dalam kepenatan, ketakutan, kelaparan ketika menjadi pelarian, pada saat baginda melihat dua orang yang memerlukan bantuan untuk memberi minum ternakan, tanpa berlengah baginda terus membantu. Kemudian, baginda terus beredar tanpa mengharapkan balasan.

    Namun, Allah yang Maha Melihat membalas kebaikan yang sederhana itu dengan rezeki yang tidak disangka-sangka. Tidak lahir dari kebaikan melainkan kebaikan juga. Kebaikan itu boleh bertumbuh dan mencambahkan ranting-ranting kebaikan yang lain. Seperti lelaki Malaysia yang menolong Ojiisan tadi.

    Oleh itu, latihlah diri agar terbiasa dan ringan untuk berbuat baik. Agar kebaikan itu menjadi sesuatu yang spontan, tidak memerlukan kita untuk memikirkannya lebih daripada sekali sebelum melakukannya.

    “We carry with us, as human beings, not just the capacity to be kind, but the very choice of kindness.” —Wonder

    Ditulis oleh: Huda Naim
    Gambar: Towfiqu barbhuiya, Unsplash 

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *.

    *
    *
    You may use these <abbr title="HyperText Markup Language">HTML</abbr> tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

    Have no product in the cart!
    0