• 5P1D Station x ETNT
  • Book Review
  • Ulasan Buku Pudarnya Pesona Cleopatra
  • Ulasan Buku Pudarnya Pesona Cleopatra

    Kali pertama memegang buku ini, aku ibarat magnet yang terlekat dari halaman pertama sehinggalah akhir. Mungkin kerana terlalu meminati penulisan Habiburrahman El Shirazy.

    Buku ini mempunyai dua cerpen. Namun, aku hanya akan menceritakan tentang cerpen Pudarnya Pesona Cleopatra. Dalam buku ini, nama watak utama lelaki (suami) tak disebutkan, jadi aku kekalkan penggunaan suami, manakala nama watak utama perempuan ialah Raihana. Untuk ulasan kali ini, ada tiga pengajaran yang cukup bermakna.

    Berterus terang menyatakan perasaan.

    Sejak sebelum berkahwin lagi, sang suami begitu teruja dengan kecantikan gadis-gadis Mesir. Jika ada lapan orang gadis Mesir, maka yang cantik itu enam belas, kerana bayangannya turut cantik. Pesona gadis Mesir kuat mengakar dalam otak, perasaan dan hatinya. Pada hari pernikahannya, dia ibarat tawanan yang dihukum di tiang gantung, memaksakan diri untuk tersenyum. Terpaksa pasrah bernikah dengan gadis Jawa pilihan ibunya.

    Pada babak ini, aku sedih menyaksikan peritnya lelaki itu berjuang menghadirkan ‘rasa’ pada seseorang yang tidak disukainya. Oleh kerana ingin meraikan hasrat ibu, dia setuju untuk berkahwin. Penulis menggambarkan kesakitan nuraninya terzahir setelah empat bulan perkahwinan – usia perkahwinan yang sangat awal. Dia mula rasa muak hidup bersama, banyak berdiam diri dan banyak tidur di ruang tamu atau ruang kerja. Hidupnya terasa sia-sia, bahkan dia pernah tersasul memanggil isterinya ‘kak’.

    Lebih tersiksa lagi apabila dia cuba memperbaiki hubungan, berpura-pura bersahabat dan memuliakan Raihana sebagai isteri, akhirnya Raihana hamil. Dia semakin meratapi cinta yang tak kunjung tiba sehingga lalai dalam memberi perhatian kepada isteri dan kandungan. Lantas isterinya meminta untuk tinggal di kampung.

    Kita dapat lihat di sini, wujud sebahagian manusia yang gagal menghadirkan ‘rasa’ kepada isteri meskipun setelah halal menjadi suami isteri. Perasaan adalah anugerah Allah. Walaupun perasaan boleh dibina, tetaplah perasaan memerlukan didikan. Apa yang dilalui suami Raihana adalah sebuah cinta yang dipaksakan, namun naluri kelelakiannya tidak dididik dengan iman. Hari demi hari, dia merelakan ingatan, fikiran bahkan angan-angan bersama kejelitaan wanita Mesir dan berdiam diri daripada bersikap jujur kepada ibunya.

    Sebagai lelaki yang bijaksana, amat wajar dia berbincang menyatakan pergelutan jiwa kepada ibunya meskipun dia yakin akan mengecewakan hati ibu. Boleh jadi, setelah berterus terang ibunya mempertimbangkan semula rasa hati anaknya ataupun menolak mentah-mentah keterangannya. Penerimaan manusia adalah sesuatu yang bukan dalam kawalan kita. Apa yang sering berlaku dalam soal jodoh, manusia berprasangka tentang masa depan. Bukankah jodoh rahsia Allah? Berbincang dan beristikharah lah. Pasti ada jalan yang menenangkan hati dan jiwa.

    Pelihara wibawa suami

    Raihana – penghafaz Al-Quran, menjadi idaman semua lelaki, bahkan keayuan wajah wanita Jawanya tersedia elok bersama kecantikan akhlak. Namun sayang, suaminya kecewa berkahwin dengannya, malah merasakan isterinya tak secantik wanita-wanita Mesir. Walaupun ramai sudah menasihati agar suaminya bersyukur mendapat isteri solehah, namun hatinya masih berkeras ingin melayani dorongan hawa nafsu.

    Sang suami tahu betapa cemburunya dia seandainya berkahwin dengan wanita Mesir – wanita yang sekadar mahu dilihat cantik, biasa bermesra dengan ramai lelaki, tak malu mendedahkan auratnya, tetapi dia enggan menepis kenakalan nafsunya bahkan tak berusaha menumbuhkan cinta dalam rumahtangga sedia ada.

    Raihana yang menyedari sikap acuh tak acuh suami, tetap mengaku bangga dan bahagia menjadi isteri kepada suaminya. Dia kekal tersenyum menjawab kenakalan soalan sanak saudara demi menjaga kewibawaan suami yang dihormati seluruh keluarganya.

    Di babak ini, mataku berkaca-kaca mengenang pengorbanan Raihana. Dia masih mengingati kebaikan suami meskipun pernah berdesing telinga dipanggil ‘kakak’. Kagum dengan peribadinya yang kuat memelihara aib suami. Jika dilihat realiti masyarakat hari ini – ada yang tanpa segan silu meluahkan rasa ‘panas hati’ di media sosial. Meskipun nama suami dirahsiakan, mendedahkannya kepada tatapan umum bukanlah akhlak yang baik.

    Berhubunglah dengan mereka yang lebih berpengalaman jika pasangan bermasalah. Satu kesilapan pasangan bukan jalan untuk melupakan segala kebaikannya, bahkan itulah proses taaruf yang perlu diteruskan.

    Pilihlah wanita kerana agamanya

    Habiburrahman membawakan beberapa kisah kenalan suami Raihana yang berkahwin demi kecantikan isteri. Antaranya kisah Yasmin dan Pak Qalyubi yang berkahwin dengan wanita Mesir (yang tiada asas agama). Perkahwinan itu bukan sekadar melunaskan lafaz akad nikah, bukan juga berjuang mencukupkan wang hantaran. Perkahwinan memerlukan jiwa yang matang, sedia berkongsi dan memberi sebanyak-banyaknya. Ketika Yasmin menuntut sesuatu yang lebih dari gadis Mesir, meminta dibelikan kereta, rumah dan perabot mewah, Pak Qalyubi penuhi saja dek cinta menggelora. Tahun pertama yang bahagia, diteruskan dengan pelbagai penderitaan.

    Rumah ibu bapa Pak Qalyubi terpaksa dijual, pendapatannya merudum, perniagaannya gagal. Akhirnya Yasmin bersekedudukan dengan lelaki lain. Kecewa. Pedih. Yasmin dipukul habis-habisan. Yasmin melaporkan perbuatannya kepada polis dan keluarga. Dia akhirnya bersendirian menunggu pengadilan Mesir, diugut bercerai dan menjadi lelaki paling malang di dunia.

    Benarlah kata Pak Qalyubi, “Isteri yang cantik tapi berperangai buruk adalah siksaan paling menyakitkan bagi seorang suami”.

    Kisah Qalyubi ini menjentik embun kesedaran di hati suami Raihana. Dia kembali teringat pesan Raihana sebelum menghantarnya ke kampung tentang kad ATM di bawah tilam.

    Dia terjumpa surat-surat yang sangat banyak Raihana tulis. Matanya membuntang membaca luahan isterinya yang bingung “bagaimana lagi perlu menzahirkan cinta buat suami yang halal”. Ketika surat itu ditemui, dia baru tersedar isterinya mengandung lapan bulan tanpa kasih seorang suami.

    Kini, dia mengakui segala kebaikan isterinya dan betapa beruntungnya dia. Raihana, kaulah isteri yang menyantuni suami dengan wajah manis setiap hari, menyelimutkan di kala suami kedinginan, membuat air panas di kala suami keletihan, mengemas rumah demi keselesaannya.

    Dia menangis terisak-isak di bucu katil. Bingkas dia bangun, meluru ke kampung untuk bertemu isteri tercinta. Malangnya, Raihana telah meninggal dunia dan bayinya tidak selamat. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Raihana sempat menyampaikan permohonan maaf kepada suaminya lalu pergi buat selama-lamanya.

    Kesedihan mencengkam dirinya. Ketika dia sedang merasakan cinta yang membara, ketika dia ingin menebus segala dosa, cintanya membuak-buak dan rindunya menggelegak-gelegak, ternyata sudah terlambat. Dia tidak sempat meminta maaf dan tersenyum kepadanya buat kali terakhir.

    Tika itu, pudarlah pesona Cleopatra. Pesan yang membekas dan menusuk di hatinya, ‘Hargailah isterimu sebelum terlambat. Benarlah sabda Nabi saw, “Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung” (Hadis Riwayat Bukhari)’

    Ditulis oleh: Nurul Husna Nur Izzat
    Buku: Pudarnya Pesona Cleopatra, Habiburrahman El Shirazy
    Gambar: Dila Ningrum, Unsplash 

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *.

    *
    *
    You may use these <abbr title="HyperText Markup Language">HTML</abbr> tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

    Have no product in the cart!
    0