• 5P1D Station x ETNT
  • Book Review
  • Reviu Buku Be Eshme Elohim
  • Reviu Buku Be Eshme Elohim

    Be Eshme Elohim merupakan karya YB Dr. Maszlee Malik dan karya ini diambil inspirasi daripada sebuah hadis yang mengisahkan tentang Ghulam.

    Ghulam ben Shaprut merupakan seorang remaja berumur 15 tahun dan tinggal di pekan al-Ghadir, yang terletak di bawah jajahan kerajaan Himyar bersama ibunya. Ghulam mempunyai tubuh badan yang kecil namun dia sangat rajin, pintar dan kuat. Pelbagai pekerjaan dilakukannya untuk menampung kehidupan dia dan ibunya. Setiap hari, Ghulam akan mendengar kisah dan cerita yang disampaikan oleh Ma’di al-Najjar, seorang ahli hikmah dan falsafah yang buta sebelum memulakan perkerjaannya.

    Pada suatu hari, Shaylam, si tukang sihir istana telah meminta kepada Shah yang merupakan raja kerajaan Himyar, seorang yang pintar dan berbangsa Israel untuk diajarkan segala ilmu sihir serta menjadi penggantinya sebagai ahli sihir istana. Satu pertandingan telah diadakan untuk mencari pengganti Shaylam. Pertandingan itu menguji tahap ilmu, kekuatan badan serta ketajaman akal. Ghulam yang pintar itu telah menang dan terpilih untuk menjadi anak murid Shaylam sekaligus bakal menjadi ahli sihir istana.

    Takdir yang Maha Kuasa telah memandu Ghulam untuk bertemu dengan sang rahib, Samuel di sebuah gua dalam perjalanannya ke istana.

    “Itulah basirah! Basirahmu telah memandumu ke sini.”

    Pertemuan dengan sang rahib telah membuka mata serta membuka akal dan jiwanya. Setiap hari, sebelum ke istana dan sesudah pengajiannya bersama Shaylam, Ghulam akan bertemu dengan Samuel. Ghulam merasakan kehidupannya semakin terisi dengan ajaran Samuel. Pada suatu hari, ketika dalam perjalannya ke istana, seekor binatang besar telah menghalang laluan orang ramai. Dengan ketajaman akalnya, Ghulam mencapai sebutir batu kecil dan berkata,

    “Wahai Tuhan, jika ajaran sang rahib lebih Kau redai buat diriku berbanding ajaran si ahli sihir, maka Kau tunjukkanlah ia melalui batu ini, dan jadikan binatang ini bergerak meninggalkan jalan agar manusia-manusia ini dapat melaluinya. Be Eshme Elohim!”

    Ghulam menjadi semakin terkenal kerana berjaya menghalau binatang besar yang menghalang laluan itu. Semua orang bercakap mengenai kehebatanya itu.

    “Hei, inilah dia ahli sihir istana yang muda! Kuasa sihirnya amat hebat!”

    “Ahli sihir muda, anak murid Shaylam mempunyai sihir yang hebat.”

    Kehebatan Ghulam telah membuatkan dirinya menjadi tumpuan. Penduduk Aden sentiasa berkunjung ke rumah Ghulam untuk meminta Ghulam menyembuhkan penyakit mereka, dan Ghulam akan berkata kepada setiap mereka yang datang,

    “Aku bukanlah penyembuh. Tuhan yang menyembuhkan. Tinggalkan sembahanmu, esakan Tuhan yang Maha Pencipta dan sembahlah Dia. Pasti Tuhan akan menyembuhkan penyakitmu…” dan diajarkan kepada mereka kalimah mengesakan Tuhan.

    Sehinggalah, keimanan si Ghulam diketahui oleh sang raja, Shah dan si tukang sihir, Shaylam. Pelbagai cara dibuat untuk menyesatkan kembali Ghulam dan membunuhnya tetapi tidak berjaya. Kemuncaknya, Ghulam telah memberitahu cara untuk ‘membunuhnya’ kepada Shah dan kematian Ghulam telah membuatkan ramai orang beriman kepada Tuhan Yang Maha Kuasa. Akhirnya, mereka yang beriman dibunuh beramai-ramai di dalam parit api yang membakar.

    Dalam surah al-Buruj, Allah SWT telah mencela golongan Ashabul Ukhdud yakni mereka yang menggali parit untuk memusnahkan golongan yang beriman kepada Allah SWT. Hidayah Allah boleh diberikan kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya. Keimanan Ghulam dan orang-orang beriman yang sangat teguh patut kita dambakan. Walaupun diseksa dan diuji, kepercayaan dan keimanan mereka tidak goyah.

    Benarlah firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut yang bermaksud, Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.”

    Semoga pengorbanan orang-orang beriman dalam mempertahankan keimanan dan kepercayaan mereka menjadi pengajaran buat kita semua.

    Ditulis oleh: Aini Daud
    Buku: Be Eshme Elohim
    Gambar: Tim Foster, Unsplash 

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *.

    *
    *
    You may use these <abbr title="HyperText Markup Language">HTML</abbr> tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

    Have no product in the cart!
    0