• 5P1D Station x ETNT
  • MDB with Youths
  • Menerap Nilai Fa’azzazna (فَعَزَّزْنَا) dalam Hidup
  • Menerap Nilai Fa’azzazna (فَعَزَّزْنَا) dalam Hidup

    Hari ini Datuk Dr Mohd Daud Bakar (MDB) membawa kami semua terbang merentas ke alam yang telah berlaku beribu-ribu tahun dahulu iaitu kisah yang disebut dalam surah Yasin.

    “Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: ` Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu.” [Surah Yaa siin 36: 14].

    MDB mengajak kami untuk fokus pada satu perkataan dalam ayat ini iaitu (fa’azzazna) yang membawa maksud maka kami kuatkan.

    Secara ringkasnya ayat ini menceritakan tentang dua orang rasul yang telah dihantar oleh Allah untuk berdakwah kepada sesuatu kaum, tetapi kaum itu tetap ingkar. Maka Allah hantar lagi seorang rasul untuk membantu atau memperhebatkan (fa’azzazna) lagi usaha dakwah kepada kaum tersebut.

    Dari satu sudut, kalau kita nak hantar bantuan, sudah pasti kita akan menghantar dalam jumlah yang banyak iaitu 100 ataupun 1000 orang. Tetapi dalam ayat ini, Allah hanya hantar seorang sahaja untuk membantu memperhebatkan lagi usaha dakwah.

    Apa yang kita boleh belajar daripada sudut ini ialah dakwah yang kita lakukan tidak semestinya dalam jumlah yang besar, yang hebat ataupun yang kuat.

    Hatta seorang bantuan sahaja pun, jika betul-betul tepat peranannya boleh mencapai kejayaan.

    Jadi, bagaimana kita nak bawa konsep (fa’azzazna) tadi ke dalam diri seorang penulis?

    (Fa’azzazna) yang pertama, kita tidak boleh hidup secara ‘isolation-terasing’. Kita kena berinteraksi dengan komuniti yang lain.

    Sebagai seorang penulis, kita merupakan pemilik idea. Tetapi kita mempunyai kelemahan dalam menyampaikan idea tersebut dengan baik, mudah difahami dan berkesan kepada para pembaca.

    Maka penting kita sebagai penulis untuk berkawan dengan seorang editor yang mahir dengan tatabahasa, yang mampu melembutkan bahasa yang kita gunakan, menjadikan bahasa kita lebih dekat, santai dan sampai kepada pembaca kita. Ataupun kita boleh sinergi dengan ilustrator. Mungkin orang mudah faham sekiranya idea kita itu disampaikan dalam bentuk visual.

    (Fa’azzazna) yang kedua ialah kita sinergi dengan penulis lain. Carilah mana-mana penulis yang mempunyai misi dan visi yang sama.

    (Fa’azzazna) yang ketiga ialah penulis perlu menerokai bidang baru. Kita jangan menulis hanya untuk buku sahaja. Ada banyak lagi ruang dan peluang yang boleh kita lakukan seperti menulis skrip drama dan filem, lirik lagu, berita dan juga menulis ucapan.

    Menurut pemerhatian MDB, ada sebahagian pemimpin yang mampu menulis sendiri ucapannya, tetapi ramai juga ucapan yang ditulis oleh penulis ucapan. Penulis-penulis ini menjadi pemikir kepada pemimpin.

    Semua aspek ini memerlukan sinergi yang berterusan.

    Kita kena ingat bahawa setiap perubahan yang berlaku dalam masyarakat bermula dengan penulisan. Allah bersumpah dengan al-Qalam – penulisan. Menunjukkan betapa pentingnya penulisan itu. Semuanya memerlukan penulis. Penulis diperlukan di mana-mana. Penulis ialah nadi kepada masyarakat.

    Contoh, berita yang kita dengar dan baca penuh dengan fakta. Maka tugas penulis untuk mengadunkan fakta yang benar dengan jentikan emosi supaya masyarakat berubah.

    Akhir sekali, penulis juga ialah manusia biasa – boleh tertekan dengan masalah keluarga, kewangan, kerja dan sebagainya. Dengan melakukan ketiga-tiga perkara tadi, dari sudut dalaman, hati kita dapat dihiburkan.

    Dalam hidup ini, kita mesti berani untuk menyebarluaskan benih bakat kita. Jangan malu untuk belajar perkara baru, kemahiran baru, bidang baru, rakan kerja baru, pemberi inspirasi baru dan bersahabat dengan orang-orang yang pakar dalam bidang.

    ‘The author of your own choice’.
    Pilihlah bidang yang boleh mengubah landskap masyarakat kita.

    Terima kasih Datuk di atas ilmu yang dicurahkan. Terima kasih juga kepada 5pages1day di atas ruang dan peluang yang diberikan.

    Merdeka!

    Ditulis oleh: Hakim Darno
    Program: MDB with Youths, sesi ke 7
    Gambar: Zach Reiner, Unsplash 

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *.

    *
    *
    You may use these <abbr title="HyperText Markup Language">HTML</abbr> tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

    Have no product in the cart!
    0