• 5P1D Station x ETNT
  • MDB with Youths
  • Penulis dengan Penuh Kekuatan, Tanpa Ada Ketakutan
  • Penulis dengan Penuh Kekuatan, Tanpa Ada Ketakutan

    “Dengarlah hai teman, dengarkan bersama,
    Aku menulis bukan kerana nama,
    Kerana sifat kasih pada sesama insan,
    Dan menyatakan kasih sayangku,
    Kita sama, semuanya sama,
    Apa yang ada hanyalah kehidupan.”

    -Bukan Kerana Nama, Datuk Ramli Sarip-

    Saya memulakan penulisan kali ini dengan potongan lirik lagu Datuk Ramli Sarip, “Bukan Kerana Nama”. Alhamdulillah, hari ini dipertemukan lagi dalam sesi yang ‘santai tapi sampai’ anjuran 5pages1day. Datuk Dr Mohd Daud Bakar (MDB) ketika menyampaikan sesi kali ini, beliau masih berada di negeri Kedah kerana mewakili MAIWP menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir lumpur di Daerah Yan.

    Apa yang kita boleh pelajari daripada peristiwa banjir ini adalah; bagaimana bencana itu boleh mengubah keadaan dan juga mengubah persepsi masyarakat terhadap kuasa Allah S.W.T. (kebergantungan hamba kepada Allah yang Maha Hebat dan tiada tandingan).

    Tugas penulis ini bukannya mudah dan bukan lagi dipandang sebagai satu hobi. Ia sebenarnya satu profesion untuk menyampaikan mesej agama, mesej kemanusiaan, mesej keinsanan serta mesej akhlak yang murni, suci dan putih dalam masyarakat. Profesion ini membolehkan kita berfikir dalam-dalam, mengorak pen dan langkah dengan sepenuh kekuatan untuk mencetuskan idea, perspektif, komentar, gagasan, wawasan, melahirkan “vocabulary” dan citarasa yang boleh mengubah masyarakat. Jadi, penulisan adalah suatu elemen penting dalam menyampaikan sesuatu mesej. Tanpa adanya penulisan, sesuatu mesej tidak akan sampai kepada masyarakat. Mungkin kita boleh bercakap, tetapi bercakap itu ada limitasinya, sedangkan penulisan itu kekal “forever”.

    MDB telah berkongsi tentang sepotong ayat di dalam Surah Maryam, ayat 12:

    يٰيَحْيٰى خُذِ الْكِتٰبَ بِقُوَّةٍ
    Maksudnya: “Wahai Nabi Yahya! Ambillah (pelajarilah) Kitab ini dengan sepenuh kekuatan (sungguh-sungguh).”

    Apakah yang dimaksudkan dengan ‘kekuatan’ di dalam ayat ini? 

    Secara literalnya, ‘kekuatan’ ini adalah kekuatan dalam mengambil sesuatu. Sepertimana kita menyambut barangan yang diberi kepada kita, kita sambut, rebut dan peluk sebaik mungkin dengan sepenuh kekuatan. Tetapi di sini, MDB membawakan makna lain yang lebih sesuai dengan konteks seorang Nabi apabila berhadapan dengan Wahyu atau Kitab yang diturunkan oleh Allah S.W.T. Menurut beliau, kekuatan ini bukanlah bermaksud kekuatan fizikal, akan tetapi ia merupakan suatu kekuatan yang menghasilkan perasaan suka, rindu, teruja dan seronok. Dalam kata lainnya, dengan penuh komitmen dan iltizam. Kita mengambilnya untuk memahaminya dan menelitinya terlebih dahulu sebelum menyampaikan kepada ahli keluarga. Begitu juga dalam konteks Nabi Yahya a.s yang mana baginda perlu meneliti dan memahami Kitab itu terlebih dahulu sebelum menyampaikan mesej di dalamnya kepada ahli keluarga dan kaum baginda. Jadi, kekuatan ini adalah suatu sifat keterujaan minda untuk melakukan segala apa yang perlu dilakukan dengan tahap kesungguhan yang paling tinggi.

    Apabila kita menulis dengan sepenuh hati dan berhasrat untuk mengubah masyarakat melalui penulisan, maka kita memerlukan komitmen yang tinggi dan tidak boleh mengambil mudah dengannya. Mungkin ‘mood’ membaca kita pada hari ini melonjak naik dan kita berjaya menulis satu atau dua patah perkataan, tetapi keesokannya, kita tidak membaca mahupun menulis. Sebagai penulis, perkara ini tidak seharusnya berlaku. Jika kita ingin mengambil semangat yang ada pada Nabi Yahya a.s., kita memerlukan kekuatan yang luar biasa. Boleh membacanya bertubi-tubi, membacanya lebih seronok dari hari ke hari, lebih seronok mencari “vocabulary” baru dan mencari cara penulisan baru. “A writer has a versatile personality.” Tidak boleh menjadi seorang penulis sekiranya personaliti kita hanya satu arah, satu haluan dan satu citarasa sahaja.

    Seterusnya, dalam kisah Nabi Musa a.s., kekuatan ini dikaitkan dengan satu lagi sifat yang perlu ada dalam diri seorang penulis, iaitu: berani. Allah berfirman di dalam Al-Quran:

    قَالَ خُذْهَا وَلَا تَخَفْۗ (Taha : 21)
    Maksudnya: “Peganglah ia dan jangan takut.”

    Ayat ini merujuk kepada peristiwa ketika Nabi Musa a.s berhadapan dengan golongan ahli sihir. Allah menjadikan tongkat Nabi Musa a.s. bertukar menjadi ular yang besar yang memakan ular-ular daripada sihir “Al-Saharah” (Tukang Sihir Zaman Firaun). Jadi, kekuatan menerima dan menyampaikan ini juga perlu kepada sifat berani. Sifat berani ini lahirnya daripada kekuatan kita untuk tidak takutkan sesuatu.

    Justeru itu, dalam konteks penulisan, janganlah kita takut apabila kita menulis sesuatu. Untuk menjadi seorang penulis, hatinya perlu berani.

    Berani di sini bukanlah berani dalam memaki hamun, menconteng muka orang lain dan menjatuhkan kredibiliti orang lain, akan tetapi ia adalah sifat berani yang penuh dengan adab, dan bahasa (style) yang pelbagai. Kita harus berani menyatakan kebenaran, menjentik apa yang tidak benar dan membetulkan kesalahan yang dinormalisasikan dalam masyarakat seperti isu rasuah.

    Apa-apa pun “trust the process”. Tiada kaitan dengan Arsenal ya. Mudah-mudahan ada manfaat bersama.

    Ditulis oleh: Ahmad Zulfadzli
    Program: MDB with Youths (Sesi ke-8)
    Gambar: Benjamin Davies, Unsplash 

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *.

    *
    *
    You may use these <abbr title="HyperText Markup Language">HTML</abbr> tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

    Have no product in the cart!
    0