• 5P1D Station x ETNT
  • MDB with Youths
  • Memberi Makna Kehidupan dengan Menulis
  • Memberi Makna Kehidupan dengan Menulis

    Ada dua sesi terakhir 15 minit bersama Datuk Dr Mohd Daud Bakar (MDB) yang saya tertangguh untuk kongsikan isi-isi pentingnya. Iaitu sesi 5 dan sesi 6.

    Hari ini saya kongsikan isi-isi penting dalam sesi 5 dahulu.

    Okey, sebab apa tertangguh?

    Sebab dua sesi terakhir ini menyebabkan saya temenung.

    Biasanya lepas dengar perkongsian daripada MDB, saya akan salin balik apa yang disampaikan, kemudian saya tokok tambah dengan huraian saya dan saya akan kongsikan terus di Facebook.

    Tapi kali ini tidak.

    Saya betul-betul mahu merasai dan menghayati mesej yang disampaikan. Mesej kali ini betul-betul membuatkan saya muhasabah diri dengan apa yang saya sedang lakukan.

    Jadi, apakah mesej yang MDB sampaikan sehingga saya termenung ini?

    Pertama, menjadi manusia yang lebih bermakna, yang ada tujuan hidup. Dan cara yang paling baik, cepat, tangkas dan handal untuk memberi makna dalam kehidupan adalah dengan menulis.

    Penulisan adalah cerminan diri, kehidupan dan peribadi kita. Tolak tepi dulu menulis untuk terbit buku, untuk viral, untuk berbangga-bangga dan sebagainya. Tulis sahaja walaupun tidak diterbitkan atau tidak ‘post’ di mana-mana platform.

    Bercakap itu mudah dan ringan. Kita boleh cakap apa sahaja yang kita mahu dan ia akan hilang di udara.

    Tetapi menulis adalah satu perbuatan yang berat. Kenapa berat? Sebab penulisan kita menjadi bahan bacaan orang. Kita kena berfikir dahulu apa yang kita nak tulis. Kita kena fikir berulang-ulang kali apa yang kita ingin bawa atau tolak di dalam penulisan dan penyampaian idea kita kerana penulisan melambangkan cita rasa kita. Jadi, kita tidak perlu terikut-ikut dengan penulisan orang lain yang boleh meruntun jiwa dan membuatkan pembaca menangis. Soalnya bukan jenis penulisan itu yang tidak bagus, tetapi itu adalah diri penulis itu.

    Maka kita carilah diri kita.

    Kadang-kadang kita perlu menulis secara halus, lembut dan selesa. Dalam waktu yang lain, kita juga perlu menggunakan kertas pasir (agak keras) untuk menegur isu masyarakat. Kita bawa idea yang dekat dengan diri kita – apa yang kita nak gambarkan dan viralkan kepada pembaca.

    Kedua, masyarakat sekarang ditimpa ujian yang luar biasa. Maka penulisan kita pun mesti luar biasa yang sezaman dengannya. Kita tidak mahu apa yang kita tulis ini biasa-biasa sahaja tetapi kita mahu penulisan kita memberi kesan luar biasa kepada diri dan orang di sekeliling kita.

    Contohnya penulisan al-Quran. Al-Quran adalah kitab yang luar biasa. Kalau kita mahu menulis, menulislah seperti al-Quran. Bahasa yang digunakan berlapis-lapis dan membawa maksud yang mendalam. Ini kerana al-Quran memberikan penekanan pada bahasa dan kesusasteraan Arab. Maka kita sebagai umat Islam yang berbahasa Melayu, bawalah bahasa kesusasteraan kita. Bahasa Melayu tinggi nilainya.

    Jangan abaikan bahasa Melayu, kaitkan dengan peribahasa dan juga adat setempat kerana bahasa adalah lambang komunikasi yang lebih efisien.

    Walaupun begitu, gunakanlah bahasa perubahan, bukan sekadar untuk keseronokan dengan menggunakan sastera yang tinggi. Nahu, saraf dan balaghah di dalam al-Quran perlu dikaji dan dipelajari.

    Namun tujuan utama al-Quran diturunkan adalah sebagai penunjuk, sumber inspirasi dan motivasi kepada orang yang bertakwa.

    Memanglah kita tidak mampu menulis seperti al-Quran kerana itu adalah kalam Allah yang Maha Mulia dan Maha Bijaksana. Cuma kita mahu ambil sedikit percikan daripada al-Quran.

    Ketiga, penulisan boleh meningkatkan kualiti iman, adab, perwatakan dan cara kita berfikir. Ia menjadikan kita lebih rendah diri, memahami keluarga dan yang paling penting ialah menjadikan diri kita ‘real‘.

    Ya betul, kita nak jadi orang yang ‘real‘. Bukan seseorang yang berselindung di sebalik sesuatu.

    Real‘ bukan bermaksud ‘perfect‘. ‘Real‘ bermaksud kita tahu di mana kekuatan dan kelemahan kita.

    Penulis adalah ‘real person’. Always self first, then others.

    Penulis juga sepatutnya mempunyai iman yang lebih tinggi sebab ada ‘reflective mind’. Penulis kena memikirkan dan memiliki peribadi yang kuat. Lebih kuat peribadinya daripada orang lain.

    Jadi, apa yang boleh disimpulkan ialah penulisan membantu kita melakukan perubahan diri dengan lebih cepat, lebih cepat menjadi pemimpin sebab kita adalah generasi pemikir.

    Untuk mengubah keadaan dunia menjadi lebih baik, bukan sekadar perlu ada ilmu, status, kedudukan atau kecantikan. Itu semua tidak berguna dan tidak ada pemberat dalam timbangan Allah, tapi jadilah orang yang boleh memberi makna dalam kehidupan.

    Terima kasih Datuk di atas ilmu yang diberikan. Terima kasih kepada 5pages1day di atas ruang dan peluang ini.

    Semoga terus sukses!

    Ditulis oleh: Hakim Darno
    Program: MDB with Youths (Sesi 5 & 6)
    Gambar: Yannick Pulver, Unsplash 

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *.

    *
    *
    You may use these <abbr title="HyperText Markup Language">HTML</abbr> tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

    Have no product in the cart!
    0