• 5P1D Station x ETNT
  • Book Review
  • Reviu Buku Seni Berfikir Kreatif Untuk Bisnes dan Hidup
  • Reviu Buku Seni Berfikir Kreatif Untuk Bisnes dan Hidup

    Saya tak pasti adakah nama buku ini tercetus daripada nama buku ‘Seni Berfikir yang Hilang’ ataupun bukan. Tetapi boleh saya katakan, kesannya lebih kurang.

    Seusai tamat baca, terdengar bisikan dalam hati – ‘buku ini perlu diulang baca, diulang selak dan dijadikan bahan perbincangan dek mahalnya idea yang dibentangkan buat pembaca’.

    Konsep yang pelbagai diadun dalam bentuk dialog harian menjadikan teori nampak lebih praktikal dan realistik. Harganya hanya RM22. MasyaAllah sangat murah (sebab idea-idea dalam buku ini mahal) dan berbaloi ye.

    Teruja meneroka sejarah tercetusnya Nando’s, IKEA, Yayasan Restu, penghasil filem terkenal, penulis buku best seller dunia bertahun-tahun dan strategi kreatif yang mereka aplikasikan. Penulis melatih kita menyusun idea yang berselerak menjadi idea baru dan segar, bahkan setiap masalah ialah peluang tercetusnya jutaan idea kreatif.

    Ketika membaca buku ni, saya teringat Prof Dr. Azizan Ahmad cerita bagaimana idea buat botol air tercipta. Bagaimana masalah membawa air ke mana-mana boleh ditukarkan kepada idea penghasilan botol air plastik? Buku ini banyak membuka mata tentang cara menjana idea.

    Bagaimana idea straw, kad kredit, kapal selam dan almari tercipta? Bagaimana nak latih otak sentiasa ada idea-idea baru dan mengajak orang lain turut sama jadi kreatif. Bagaimana Thomas Edison melatih kreativiti dan akhirnya hanya memilih idea terbaik selepas idea gila-gila dan tak masuk akal?  Bagaimana memposisikan orang kreatif dan kritis di tempat kerja? Mengapa dua golongan ini berbeza? Apa hikmah 18 kali perkataan tafakkur disebut dalam Al-Quran?

    Menariknya, ada jurnal-jurnal pensyarah UIA yang dijadikan bahan rujukan dalam buku ini. Sebagai salah seorang pelajar UIA yang pernah belajar dengan penulis-penulis jurnal, ilmu yang dipelajari sebelum ini menjadi lebih membumi.

    Selain itu, buku ini banyak mendidik saya bahawa menjadi seorang pemikir kreatif tidaklah bergantung pada keupayaan diri semata-mata. Ternyata, mencetuskan idea yang kreatif datang daripada keupayaan diri, kesediaan pasukan, dan penerimaan pelanggan terhadap idea yang bertukar menjadi benar.

    Jika kita renung realiti hari ini, berfikir secara kreatif tidak diberikan penekanan sebagai sesuatu yang mesti dipelajari bagi meningkatkan potensi. Kita dapat melihat, mempelajari proses berfikir ditekankan oleh ibu bapa ke atas bayi melalui latihan rangsangan deria. Cabang berfikir yang tertentu kemudian diasah melalui silibus pendidikan.

    Tiba-tiba, proses berfikir tidak ditekankan sebagai cara survival hidup. Situasi yang berlaku, pandai-pandai sendirilah berfikir dan menyelesaikan masalah yang timbul. Sesetengah orang percaya proses berfikir secara kreatif dianggap bakat dan mereka yang terpilih sahaja mampu melakukannya. Kesannya, ada yang berhenti mencari cara dan membiarkan diri mengikut keadaan semasa.

    Bagi saya, memang layaklah Puan Ainon Mohd & Tuan Zamri Mohamad yang menulis buku ini. Dua insan genius yang banyak menyumbang kepada Malaysia juga dunia. Saya sangat bersyukur Allah pertemukan saya dengan buku ini. Wajar dibaca oleh kalian yang dahagakan idea kreatif dalam hidup dan bisnes. InsyaAllah, sangat lumayan.

    Ditulis oleh: Nurul Husna Nur Izzat
    Buku: Buku Seni Berfikir Kreatif Untuk Bisnes dan Hidup
    Gambar: Tim Mossholder, Unsplash

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *.

    *
    *
    You may use these <abbr title="HyperText Markup Language">HTML</abbr> tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

    Have no product in the cart!
    0