• 5P1D Station x ETNT
  • Book Review
  • Reviu Buku Berfikir Macam Seorang Champion tulisan Syafiq Aizat Mahamad Fuad
  • Reviu Buku Berfikir Macam Seorang Champion tulisan Syafiq Aizat Mahamad Fuad

    Alhamdulillah, selesai membaca sebuah naskah motivasi yang ditulis oleh seorang teman. Sebenarnya buku ini sudah lama beliau hadiahkan kepada saya, semasa pertemuan kami di tengah lebuh raya di Shell Sungai Dua, Pulau Pinang. Namun takdir Tuhan saya tidak sempat membeleknya secara serius hinggalah ke hari ini. Saya tidak pasti adakah saya sudah membalas hadiah beliau dengan naskah buku saya, jadi buat Syafiq Aizat, jika belum, mai la tuntut! Syafiq Aizat merupakan salah seorang idola saya, kerana dia dahulu menulis buku dari saya. Ada juga ketika saya mendapatkan nasihat dari beliau sebelum saya menerbitkan buku sendiri.

    Naskah ini tidak padat dengan aksara, banyak disertai dengan grafik dan juga komik, mungkin ini sesuai dengan target audience beliau, iaitu pelajar sekolah kerana beliau merupakan seorang fasilitator. Saya secara personal, lebih minat membaca buku dengan gambar yang minimal, kecuali mungkin buku bergenre memoir atau sejarah. Namun itu preferences saya, jadi tidaklah ia satu kesalahan, bak kata pepatah, lain padang lain belalang, lain orang lain sudut pandang! Juga bagi saya, kekurangan buku ini adalah muka suratnya tidak dinomborkan, ini bagi saya merupakan perkara yang merungsingkan saya sebagai pembaca tradisional.

    Baik, cukup sekadar itu kritikan terhadap teknikaliti dan anatomi buku, mari kita tinjau isinya. Sudah tentu saya tidak akan mengulas semua isinya, kerana untuk keseluruhan isi lebih baik anda bacanya sendiri. Saya hanya akan mengulas beberapa isi yang dekat dengan hati dan fikiran saya.

    Yang pertama adalah perlunya kita menulis matlamat yang hendak kita kecapi (cara ke-2). Menurut beliau, hal ini adalah penting kerana limitasi otak kita yang mudah lupa, manusia bukan Google yang boleh memuntahkan semua maklumat lalu dalam masa yang singkat. Adakalanya perkara yang ingin kita ingati tidak datang, otak kita tidak mahu bekerjasama. Jadi perlu ia disimpan dalam bentuk tulisan. Saya kira perkara ini boleh dikembangkan bukan terhenti pada matlamat sahaja, bagi saya pemikiran bagus yang terlintas di minda, idea yang tiba-tiba muncul ketika memandu kereta, perasaan yang tiba-tiba meresap ke dalam hati ketika mandi, semuanya wajar kita tuliskan. Wajar kita susun menjadi satu simpanan. Masa akan menjadikan kita tua, ia memamah semuanya, ada satu ketika kita akan semak semula simpanan itu dan hati kita akan berbunga, terkenang, bahkan mungkin air mata akan terlinang.

    Kedua, beliau menyarankan kita untuk menulis pencapaian kita (cara ke-8). Beliau menerangkan bahawa tiada alat yang dicipta setakat ini yang boleh mengukur kejayaan. Tetapi proses mencapai kejayaan itu boleh kita ukur, caranya adalah dengan menyimpan diari, apa yang telah kita lakukan setiap hari untuk mencapai matlamat yang kita hajati. Di situ kita akan nampak, ada hari yang kita guna sebaiknya, ada hari yang habis dengan termenung! Jika kita mencapai kejayaan-kejayaan kecil juga harus kita rekodkan dalam tulisan, dari situ kita boleh melihat perkembangan dan progress kita untuk mencapai kejayaan. Dengan mengumpul kejayaan-kejayaan kecil ini, kita nantinya akan menyedari bahawa jika ia dikira secara kumulatif, ia sebenarnya kejayaan yang besar! Namun jika tidak ditulis, ia umpama angin rindu malam yang berlalu, esoknya kita pun tak sedar dan tak ingat apa yang telah kita lalui atau apa yang telah kita capai.

    Ketiga, adalah perihal membaca, yang merupakan cara ke-34 dalam naskah ini untuk mencapai kejayaan. Saya tidak ada masalah dengan mengaitkan buku dengan kejayaan secara umumnya. Cuma bagi saya, insan seperti Mark Zuckerberg dan Bill Gates bukanlah tanda aras kejayaan, dan selain “membaca” dua insan ini punya banyak kelebihan lain dari segi ekonomi dan pendidikan yang membolehkan mereka berjaya.

    Saya bersetuju dengan pandangan apa yang penting adalah manfaat yang kita ambil dalam bacaan, Syafiq Aizat menggalakkan pembaca menandakan buku apabila sampai ke bahagian yang kita minati, fikirkan kesan tambah nilai yang boleh diperolehi untuk diri kita, juga cuba untuk mendapatkan kemahiran dari bahan bacaan, ini semua perkara yang saya setuju. Namun saya tidak bersetuju bahawa kita hanya pilih bahagian yang yang penting sahaja, saya lebih bermazhab membaca keseluruhan buku, kulit ke kulit, apa yang kita rasa tidak penting sekarang, mungkin akan menjadi satu yang penting di masa hadapan.

    Keempat, yang merupakan cara ke-36 dalam naskah ini adalah perihal berfikir. Dalam hal ini Syafiq Aizat membuat satu ujian minda untuk membuktikan bahawa kita tidak boleh berhenti berfikir. Pada pandangan saya kecenderungan kita untuk sentiasa berfikir bukanlah perkara yang positif. Sebaliknya dalam hal ini saya bermazhab Eckhart Tolle, otak kita harus kita gunakan seperti alatan lain. Kita aktifkan apabila kita memerlukannya, dan kita nyah-aktifkan apabila kita tidak menggunakannya. Jika kita aktifkannya sepanjang masa, berfikir sepanjang masa, kita akan cepat penat, malah mungkin boleh jadi gila. Untuk nyah-aktifkan otak untuk berhenti berfikir bukanlah sesuatu yang mudah, ia perlu latihan juga “kesedaran”, sedar bahawa sekarang adalah masa untuk rehat bukan berfikir. Dengan kaedah ini kita mampu berfikir dengan lebih tajam dan berstrategi, dan berehat apabila perlu, “merasa hidup sekarang” bak kata Tolle.

    Secara keseluruhan, saya merasakan ini adalah buku motivasi yang baik untuk pelajar sekolah, ia tidak dipenuhi dengan perkataan dan perenggan panjang yang mungkin akan menjadikan pembaca muda cepat mengantuk. Sebaliknya ia mesra pembaca muda dengan lakaran, komik, dan grafik. Tahniah saya ucapkan buat penulis muda idola saya ini, Saudara Syafiq Aizat Mahamad Fuad.

    Ditulis oleh: Syed Ahmad Fathi
    Buku: Berfikir Macam Seorang Champion, Syafiq Aizat Mahamad Fuad
    Gambar: Ruthson Zimmerman, Unsplash 

    Previous Article
    Next Article

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *.

    *
    *
    You may use these <abbr title="HyperText Markup Language">HTML</abbr> tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

    Have no product in the cart!
    0