Kuasa Doa

Selesai menunaikan Solat Tahajjud, lamunan Arini menembusi sejadah usangnya. Arini mencari kekuatan untuk tidak menyesali keputusannya melepaskan seorang insan yang pernah bertakhta hampir tiga tahun di hati. Tangannya ditadah sambil meluahkan segala yang terbuku.

‘Ya Allah, sudah empat kali aku putus tunang. Tenangkanlah jiwaku. Hindarilah aku daripada keluh kesah berpanjangan. Peliharalah aku dari segala maksiat dan dosa. Wahai Allah yang Maha Mengetahui, apakah tidak ada lelaki yang soleh untukku di dunia ini? Adakah takdirku akan membujang di dunia atau aku hanya perlu bersabar sedikit lagi. Sekiranya ada jodoh yang baik menurut pengetahuanMu, maka datangkanlah dia dari arah mana pun. Peliharalah aku dari kekecewaan, wahai Allah yang Maha Mengerti.’

Air matanya menitis entah buat kali ke berapa. Seorang demi seorang wajah bekas tunangnya menjengah dalam memori dan dia masih belum mampu menghapuskan ingatan itu walau sedikit. Setiap dari mereka punya cerita dan pengalaman yang berbeza.

———————————-

Usai kelas jam 10 pagi, Arini bergegas ke surau. Waktu rehat tiga puluh minit dimanfaatkan untuk menunaikan Solat Dhuha. Tekaknya hilang selera untuk menjamah sebarang makanan. Dia masih perlukan waktu untuk bersendiri. Ting. Ting. Tiba-tiba, notifikasi mesej berbunyi di telefon bimbit. Ada nombor yang tidak dikenali.

“Assalamualaikum. Maaf ganggu. Ini Ukhti Arini kan?”

“Waalaikumussalam. Maaf juga, ini siapa ye?”

“Ana Azzam, batch Al-Fateh”

“Oh pelajar Maahad. Ye saya Arini”

Jantung Arini berdenyut kencang. Dia hairan atas urusan apa lelaki ini menghubunginya. Batch Al-Fateh adalah senior di Maahad Tahfiz Al-Furqan. Sewaktu Arini masuk ke Maahad, berbaki tiga bulan sahaja batch Al-Fateh akan tamat pengajian. Dia tidak pernah berurusan dengan batch ini, apatah lagi lelaki bernama Azzam. Di Maahad, mereka membahasakan saya sebagai ‘ana’, manakala ‘Akhi’ dan ‘Ukhti’ pula adalah panggilan untuk lelaki dan perempuan.

“Macam ni Ukhti. Ana terus terang je lah ye. Ana minta nombor Ukhti dari kenalan ana batch sama dengan Ukhti. Ana minta dua tahun lepas dan minta tolong dia sampaikan hajat ana untuk pinang Ukhti. Tapi nombor dia hilang lepas ana habis Maahad. Selepas fikir beberapa kali, ana nak tanya Ukhti sendiri. Maaf kalau cara tak kena. Ana tak berhajat tahu jawapan Ukhti lagi sekarang ni, sebab Ukhti pun belum kenal ana. Kalau Ukhti belum berpunya, boleh Ukhti beri nombor seseorang yang boleh jadi pengantara antara kita. Tapi kalau Ukhti sudah berpunya, ana rasa tak perlulah.”

Dia terkedu. Ditampar pipinya berkali-kali, bimbang apa yang terlihat di mata adalah mimpi semata-mata. Ternyata tidak. Arini bersujud dan menangis semahu-mahunya.

‘Ya Allah… berikan aku petunjukMu. Siapakah dia? Dari manakah dia?’

—————————————–

“Abang, dah baca mesej dari anak kita?”. Berseri-seri wajah Cik Yah bak cahaya bulan di malam hari.

“Dah. Abang rasa ada baiknya kita tanya ustaz dia. Kita selidik siapa budak ni.”

“Oh bagus juga tu. Tapi tak perlu beritahu anak kitalah ye. Baru sangat dia putus tunang. Simpati juga saya kat dia”

“Betul. Lepas dapat info dari ustaz, kita berlakon jadi pengantara. Ok kan, sayang?”

Cik Yah mengangguk laju. Menarik pula misi menyelidik bakal menantu kali ini. Dia geleng kepala memikirkan anaknya. Apa pula jalan cerita yang Tuhan takdirkan untuknya.

————————————-

Setelah seminggu, lelaki itu menghantar mesej kedua.

“Assalamualaikum. Ukhti, ana mohon maaf jika cara ana sebelum ini terburu-buru dan terlalu tiba-tiba. Tapi ana memang betul-betul serius untuk melamar Ukhti. Ana pun pelik kenapa ana sanggup simpan perasaan selama dua tahun untuk orang yang tak pernah ana kenal. Kalau Ukhti belum berpunya, ana takkan putus asa untuk tunggu Ukhti. Ana harap Ukhti beri peluang untuk ana kenal mak ayah Ukhti bila balik Malaysia nanti. Tinggi cita-cita ana ni, tapi ana belum tahu pun Ukhti sudah berpunya atau belum. Ana harap Ukhti tak kisah untuk beritahu ana status Ukhti. Ana tak berniat ganggu Ukhti dan tak mahu Ukhti pening pun dengan kehadiran ana yang tiba-tiba ni. Hanya cara ini sahaja ana boleh sampaikan isi hati ana. Nak bagi ayat bunga-bunga, ana tak pandai. Kalau hanya doa tapi tiada usaha, tak dapat kan? Anggaplah ini usaha permulaan untuk ana dapatkan Ukhti. Wassalam.”

Sekali lagi, matanya membulat melihat keseriusan lelaki misteri ini. Jari jemarinya sejuk dan pucat. Denyut jantungnya laju bak angin taufan. Mesej itu dibiarkan bertanda biru tanpa sebarang balasan. Dua mesej yang penuh tanda tanya. Dia segera menelefon ibu.

“Ibu, kenapa ayah tak hubungi dia? Kesianlah dia tunggu jawapan sampai berhari-hari. Arini takut meletakkan harapan, ibu. Cukuplah yang lepas mengajar Arini. Arini serah urusan ini kepada ibu ayah”

“Iya Arini. Kamu jangan risau. Tak perlu balas apa-apa. Pandailah ibu ayah nak buat apa”

Arini menghela nafas lega. Fikirannya sedikit terganggu beberapa hari ini. Kerapkali dia ditegur rakan sebilik akan dahinya yang berkerut-kerut. Namun, dia memilih untuk berahsia.

————————————————

Sabtu, 2 petang.

Masa yang telah disepakati oleh Azzam, ibu bapanya dan keluarga Arini untuk bertemu. Hari pertama Azzam balik dari Mesir dan membawa kedua ibu bapanya untuk menyunting bunga yang telah lama mekar di hati. Tekadnya bulat. Bukan sedikit wanita yang dia perlu tepis demi menanti sekuntum bunga. Hari ini dia akan leraikan segala persoalan yang bergelut di jiwa.

‘Kuatkan hatiku ya Allah!’, bisiknya.

Ketika kereta putih Honda City meluncur laju, Azzam memulakan bicaranya.

“Mak ayah, terima kasih kerana percaya pilihan Azzam. Kali pertama, Azzam nampak Arini di masjid, hati Azzam kuat bersuara memberitahu dialah orangnya. Mak ayah doa yang baik-baik ye. Baru-baru ini, mak dia ada maklumkan yang Arini baru putus tunang…”

Belum sempat dia menghabiskan ayat, air muka ayahnya berubah. Dahinya berkerut.

“Putus tunang? Sebab kamu? Eh, ayah dan mak ni ada maruah lagi tahu tak? Kamu dah lah baru balik Mesir, macam ni kamu balas untuk mak ayah?”

Azzam menjeling ayahnya di sebelah. Wajahnya memerah. Dia menelan air liur, lalu menegakkan posisi kedudukannya.

“Bukan begitu ayah. Dia sudah putus tunang sebelum Azzam sampaikan hasrat lagi”

“Kalau bukan sebab kamu, habistu sebab apa? Ayah malulah nak tunjuk muka kalau macam ni. Kita balik rumah jelah. Kamu tahu kan berapa tahun dah kamu belum jejak kaki di rumah? Berapa tahun mak ayah sabar menahan rindu kamu balik Malaysia”

Melihat ibunya menggangguk-angguk, Azzam membisu. Dia berbelah bahagi untuk meneruskan kata-kata. Meskipun dia tahu bukan dirinya punca Arini putus tunang, dia hilang bicara. Antara wanita yang diingini atau ibu bapanya? Hasratnya pulang cuma ingin gembirakan mereka berdua. Lain pula jadinya. Kelajuan kereta diperlahankan, lalu memasuki kawasan Petronas.

“Ayah nak isi minyak. Azzam telefon keluarga mereka, beritahu yang kita tak jadi datang!”

Setelah berfikir sejenak, Azzam akur. Mungkin dia perlu luangkan masa bersama ibu bapanya terlebih dahulu. Beri peluang untuk ibu bapanya menatap wajah anak yang sekian lama tinggal di negara orang. Dia menghubungi Pak Sujud yang menjadi pengantara antara dia dan keluarga Arini.

“Assalamualaikum Pakcik. Azzam ni. Kami tak jadi datang. Ada masalah sikit. Boleh pakcik sampaikan permohonan maaf saya buat ibu bapa Arini?” sedaya upaya Azzam menjaga tutur kata. Dia bimbang ada hati yang terluka.

“Waalaikumussalam.”

Sekilas mata Pak Sujud melirik kepada makanan yang terhidang atas meja. ‘Siapa nak makan makanan banyak-banyak ni? Rumah juga cantik dikemas, dah siap terima tetamu’

“Oh kenapa ye tak jadi? Pakciklah bapa Arini”

“Eh pakcik? Pakcik bapa Arini? Selama ini saya bermesej dengan bapa Arini?”

“Ye nak. Hahaha. Terkejut kamu ye?”

Hati Azzam dilanda debaran, satu per satu dia menjelaskan situasinya. Bapa Arini berbincang seketika dengan isteri.

“Beginilah, pakcik cadang kamu datang je sini. Kami akan cerita perkara sebenar. Sekarang ini, tak perlu risau nak meminang atau merisik, kita jernihkan dulu apa yang keruh. Boleh macam tu?”

Azzam melihat riak wajah ibunya yang sejak tadi turut sama mendengar perbualannya. Suara di telefon bimbit itu sengaja dikuatkan. Melihat ibunya mengangguk perlahan, segera dia menjawab, “Boleh pakcik”

—————————

Di ruang tamu rumah Arini, hanya lima orang manusia sedang saling berkenalan dan berdiskusi. Arini tiada. Dia ragu untuk memunculkan diri. Terlalu banyak persoalan tentang Azzam ligat bermain di kepala Arini.

‘Bagaimana lelaki itu yakin bahawa akulah perempuan yang dia lihat dua tahun lalu? Nama penuhku tidak tahu. Ibuku dan ayahku tidak kenal. Hanya kerana doa dia sanggup pulang dari Mesir? Mahu jadikan isteri pula tu. Aneh. Kalau aku keluar dari bilik, tiba-tiba aku bukan perempuan tu, macam mana?’

Kedengaran riuh rendah suara ketawa dari ruang tamu sampai ke biliknya. Sudah menghampiri sejam setengah mereka beramah mesra. Dia merapati pintu. Ada geseran kaki yang sedang menghampiri. Ibunya menolak daun pintu.

“Arini. Jom ke ruang tamu. Mak Azzam nak tengok kamu”

Matanya membelalak. Berkali-kali dia menggeleng tidak mahu. Ibunya mendekat, memujuk dan mengusap belakangnya lembut.

“Bismillah Arini. Ibu Azzam hanya mahu melihat. Kita tidak tahu apa yang di depan. Ibu selalu mendoakan yang terbaik untukmu. Hafiz Al-Quran tu datang rumah kita. Ustaz lagi”

Dengan langkah yang perlahan, Arini menuju ke ruang tamu. Jantung yang tenang berubah kencang. Pipinya mula kemerah-merahan. Di sebalik perasaan yang sukar diungkapkan, dia bermonolog dengan Tuhan.

‘Ya Allah, jika Engkau tahu bahawa dia baik untukku, agamaku, kehidupanku dan akibat urusanku, maka tentukanlah ia untukku dan mudahkanlah ia untukku, kemudian berkatilah untukku padanya. Ya Allah, jika Engkau tahu bahawa dia buruk untukku, agamaku, kehidupanku dan akibat urusanku, maka jauhkanlah ia dariku dan jauhkanlah aku darinya, dan tentukanlah untukku kebaikan di mana sahaja ia berada, kemudian jadikanlah aku redha dengannya’

Jam 6.30 petang, perbincangan selesai. Mereka sepakat untuk menjaga hubungan baik meskipun tiada ikatan kekeluargaan. Jika ada rezeki, berjumpa lagi. Jika sebaliknya, di akhiratlah bertemu semula.

———————————–

Dua minggu berlalu begitu pantas. Selesai menjadi penceramah jemputan, Pak Sujud singgah di Masjid Muadzam Shah sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Dia ingin Solat Mahgrib sekaligus menyegarkan badan yang mula keletihan. Tiga jam lebih membawa kereta agak mencabar baginya yang sudah masuk usia senja. Sebaik kakinya melangkah ke ruang solat, telinganya menangkap suara yang seakan-akan dia kenali.

‘Beruntungnya Arini jika bersuamikan Azzam. Tak sangka pula dia imam di sini. Baru saja tiga hari lepas, jumpa kenalan yang menceritakan kebaikannya. Tua dan muda, semua menyukainya. Aku pun tidak sehebat dia. Mungkin inilah jawapan yang Tuhan tunjukkan’

“Azzam!”, laung Pak Sujud seusai solat.

Segera wajah anak muda yang dimaksudkan itu berpaling kepadanya.

“Pakcik? Macam mana pakcik boleh ada di sini? Ya Allah, saya malu. Pakcik sihat?”

“Alhamdulillah sihat, Zam. Tak perlu malulah dengan pakcik. Kebetulan pakcik singgah masjid ni. Tak tahu pula kamu imam di sini” Pak Sujud menepuk-nepuk bahu Azzam. Dia mula mengakui kebaikan yang ada pada Azzam.

“Hehe, imam baru pakcik. Banyak lagi saya perlu belajar. Pakcik datang dengan siapa?” Azzam menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Hahaha. Kamu jangan takutlah. Pakcik datang seorang je. Tak sangka boleh jumpa kamu. Kuat betul jodoh kita ya?”

“Jodoh?”, Azzam menelan air liur.

Tanpa diduga, air muka Azzam berubah. Rahsia Tuhan yang membawa dirinya banyak bermunajat dan memperbaiki diri. Ada sesuatu yang ingin diperkatakan kepada Pak Sujud, namun terlalu berat untuk disampaikan. Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, Pak Sujud datang tepat pada waktunya.

“Pakcik… saya…”

Azzam menundukkan mata yang baru saja bertentangan. Air matanya bertakung lalu tumpah dari kelopaknya. Dia menyeka dengan belakang tangan kiri, sambil tangan kanannya menyeluk saku. Ada surat yang baru siap ditulis petang tadi.

Suasana menjadi hening. Pak Sujud membiarkan Azzam mengambil waktu untuk tenang semula. Dia hanya memerhati raut kesedihan di wajah Azzam. Adakah air mata itu berkaitan puterinya atau masalah peribadi Azzam pun dia tidak pasti.

“Pakcik, ini surat yang saya tulis untuk Arini. Saya tidak tahu bila lagi boleh berjumpa orang sebaik pakcik. Saya seperti tidak percaya secepat ini Allah datangkan pakcik. Terima kasih pakcik atas segalanya. Mohon maaf salah silap saya”

Giliran dia pula terkedu. Aura kesedihan serta merta menyelubungi sebaik surat itu berpindah tangan.

“Boleh pakcik baca?”

“Silakan pakcik”

———————————-

“Assalamualaikum wbt Ukhti Arini yang dihormati. Pertamanya, terima kasih kerana beri peluang ana mengenali ibu bapa Ukhti. Melalui Ukhti, ana percaya hebatnya kuasa doa. Dua tahun lamanya ana berdoa, sesingkat ini pula perkenalan kita. Ibu ana sudah punya calon untuk ana sebelum ana pulang ke Malaysia lagi. Perempuan itu anak yatim piatu yang kenal rapat dengan ibu. Ana mohon maaf kerana ana harus memuliakan ibu meskipun hati ana belum mantap menerima sesiapa. Ana percaya Allah sedang mempersiapkan takdir terbaik buat kita. Sekali lagi, mohon maaf atas segalanya. Semoga Allah merahmati kehidupan Ukhti sekeluarga sampai bila-bila.

Yang benar,
Azzam.”

Arini menutup surat itu sambil tersenyum. Dia belajar suatu yang cukup besar daripada peristiwa ini.

“Ayah, doa itu kuasa. Alhamdulillah, lelaki yang kelima pula pergi dari hidup Arini. Ayah tahu, sehari sebelum datangnya Azzam, Arini yang merayu pada Allah agar menghadirkan lelaki dari arah manapun. Dia benar-benar datang, ayah. Dari Mesir. Haha.”

“Oh jadi, Arini sudah menduga pinangan ini?”

“Arini tidak sangka pula sesegera itu Allah kabulkan.” Dia menggeleng kepala diikuti oleh ketawa kecilnya.

“Allah Maha Mendengar, ayah. Arini bersyukur, Arini mampu redha atas apa yang berlaku. Jika kerana izinNya dia datang, pasti keranaNya juga dia pergi. Takdir itu mudah difahami apabila ianya berlaku tepat dengan kehendak kita. Namun yang menjadi sukar untuk diterima adalah apabila ianya tidak menyebelahi kita.”

“Betul Arini. Arini dan dia berdoa, bukti pergantungan padaNya. Arini dan dia berusaha, tanda kalian bukan hamba yang pasrah semata-mata. Subhanallah. Mencari hikmah di setiap kejadian yang menimpa itu kadang-kadang tidak terlihat oleh hati yang sedang berputus asa. Hikmah hanya dapat dilihat oleh orang yang memang pasrah terhadap percaturan takdir Allah, serta dalam masa yang sama berusaha dan berusaha untuk mencari ibrah dan kekuatan di sebalik apa yang sedang dan telah berlaku.”

“Luar biasa anak ibu. Selepas ini, doa itu biarlah spesifik. Nanti orang Bangladesh pula datang”. Kedengaran suara Cik Yah dari dapur. Dia membawa sedulang cawan bersama teko air kopi untuk diminum bersama di beranda rumah.

“Orang Bangladesh kacak kan, ayah? Haha.” Arini membalas nakal.

“Eh, tak serik lagi?!”

Ketawa tiga beranak itu di malam hari. Di sebalik mehnah mencari jodoh buat Arini, Pak Sujud dan Cik Yah tersenyum melihat Arini yang masih mampu bergurau senda. Terzahir kebahagiaan di wajah Arini. Meskipun Arini tahu, belum ada lelaki yang pasti bakal berkahwin dengannya, tetapi hatinya lapang menyedari bahawa Allah sentiasa mendengar rintihannya.

Merintihlah duhai teman, meskipun sekecil-kecil perkara. Rasulullah SAW pernah bersabda:

لِيَسْأَلْ أَحَدُكُمْ رَبَّهُ حَاجَتَهُ حَتَّى يَسْأَلَهُ الْمِلْحَ وَحَتَّى يَسْأَلَهُ شِسْعَ نَعْلِهِ إِذَا انْقَطَعَ

MaksudnyaHendaklah kalian berdoa dan meminta kepada Allah SWT segala hajatnya, hatta jika ingin meminta garam atau tali kasutnya apabila ia terputus.

Jami’ Tirmizi (3604)

Ditulis oleh: Tinta Hikmah
Sumber gambar: rahmadhani578, Pixabay 

2 thoughts on “Kuasa Doa

  • Nur Ain
    August 19, 2021 at 1:13 am

    Masya Allah, byk pengajaran dlm cerita ni.. btw ni cerita from real story penulis sendiri ke?

    • 5pages1day
      August 21, 2021 at 11:48 am

      Yes, penulis mengatakan ia ditulis berdasarkan pengalaman sendiri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *.

*
*
You may use these <abbr title="HyperText Markup Language">HTML</abbr> tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

Have no product in the cart!
0