• 5P1D Station x ETNT
  • Book Review
  • Reviu Buku “Mahasiswa Bukan Robot”
  • Reviu Buku “Mahasiswa Bukan Robot”

    Buku ini merupakan pemberian seorang sahabat saya ketika virus Covid-19 belum muncul dan Alhamdulillah saya berkesempatan untuk menghabiskannya ketika cuti semester lalu yang juga merupakan semester kedua saya belajar secara atas talian di rumah. Alangkah rindunya susasana belajar di universiti. Semoga Allah mengangkat wabak ini dengan segera.

    Saya berasa sangat bersyukur kerana terlalu banyak benda baharu yang saya belajar dan celik setelah membaca buku ini. Terasa semangat untuk berkongsi isinya dengan orang lain selepas berjaya menamatkan pembacaan saya. Buku ini banyak menekankan tentang penglibatan pelajar di Universiti yang bukan sahaja perlu fokus belajar semata-mata namun mereka perlu ‘menginfakkan’ diri mereka kepada manusia lain dengan menyertai program dan aktiviti yang boleh mendatangkan faedah.

    Reviu kali ini, saya akan berkongsi dengan anda TIGA poin utama iaitu berkaitan dengan penglibatan dan merit, apa yang perlu dilakukan selepas peperiksaan akhir dan bagaimana untuk menjadi manusia yang bermanfaat buat ummah.

    Jangan Jadi Hamba Merit

    Penulis menasihatkan para mahasiswa agar tidak menjadi hamba merit/ ‘starpoints’ kerana beliau berpendapat bahawa sistem merit ini seolah-olah ‘rosak’ apabila para mahasiswa meletakkan merit sebagai ‘Ultimate Goal’ dalam beraktiviti. Hakikatnya, objektif terbesar setiap mahasiswa menyertai sesuatu aktiviti di universiti adalah untuk menimba ilmu dan pengalaman kerana keduanya akan memberi manfaat jangka masa panjang di masa hadapan.

    Berseronok Lepas Peperiksaan Akhir?

    Amirul Eqhwan iaitu penulis buku Mahasiswa Bukan Robot ini  turut menasihati para mahasiswa yang kebiasaannya terlalu ‘enjoy’ dan berseronok setelah berjaya menamatkan peperiksaan akhir atau ‘final exam’ pada setiap semester. Namun hakikatnya, apabila kita sudah selesai untuk semester tersebut, itu bermakna kita sudah semakin hampir dengan kehidupan bekerjaya yang jauh lebih mencabar.

    Saya juga berpendapat bahawa sebenarnya para mahasiswa boleh berkongsi dengan umum apa yang telah mereka pelajari dengan cara yang kreatif (menerusi video, infografik dan sebagainya) di media sosial. Kaedah ini juga turut dilakukan oleh sahabat-sahabat saya, Nur Hafizah Miszairi, Hannan Yusoff dan Hani Syazana bagi mengelakkan kita lupa ilmu yang telah dipelajari dan supaya ilmu tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya.

    Ayuh Jadi Manusia yang Bermanfaat Buat Ummah!

    Kata penulis, takrifan ‘manfaat’ bagi seseorang adalah berbeza dan bergantung kepada niat masing-masing. Caranya ialah gunakan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk memberi manfaat dan membantu manusia lain. Suka untuk saya kongsikan konsep ‘Ithar’ yang merupakan satu sifat terpuji yang iaitu melebihkan orang lain dari diri kita sendiri.

    Sikap ini juga telah dipuji Allah di dalam Surah Al-Hasyr ayat 9 yang bermaksud: “Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” MashaAllah. Semoga kita semua tergolong di kalangan mereka yang ikhlas membantu orang lain dan tidak mementingkan diri sendiri.

    Di sini, saya kongsikan sebuah kata-kata daripada idola penulis “Orang yang biasa-biasa hidup untuk diri sendiri, orang yang luar biasa akan hidup untuk ummah.”

    Ditulis oleh: Nurul Aqilah Binti Zulhazmi
    Buku: Mahasiswa Bukan Robot, karya Amirul Eqhwan
    Gambar: Possessed Photography on Unsplash

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *.

    *
    *
    You may use these <abbr title="HyperText Markup Language">HTML</abbr> tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

    Have no product in the cart!
    0