• 5P1D Station x ETNT
  • Book Review
  • Enam Angka Menjelang Dua Puluh Lima, karya Azraei Muhamad
  • Enam Angka Menjelang Dua Puluh Lima, karya Azraei Muhamad

    Ini bukanlah “Book Review” yang biasa tetapi ini adalah sekadar sudut pandang aku secara peribadi selepas aku membaca buku Enam Angka Menjelang Dua Puluh Lima. Aku seorang pelajar yang bukan berasal daripada keluarga menteri, usahawan berjaya, mahupun ahli korporat. Kedua ibubapaku adalah seorang pendidik. Ibuku adalah guru tadika dan ayahku pula bekas guru sekolah rendah (yang kini tidak lagi bekerja kerana masalah kesihatan). Aku tidak pernah merasakan kehidupan mewah. Gaji kedua orang tuaku hanya sekadar cukup untuk makan, pakai dan menjalani kehidupan sehari-harian. Oleh yang demikian ibuku sering menitipkan pesan bahawa beliau tidak dapat menyediakan kehidupan mewah dan harta yang melimpah ruah, beliau hanya mampu menyediakan pendidikan yang terbaik dan itu sebaik-baik harta yang mereka dapat tinggalkan dan wariskan. Aku sedar, bukan hanya aku sahaja yang menjalani kehidupan yang susah ini, sudah pasti ramai lagi yang merasai kehidupan yang serba kekurangan dan mungkin ada antara mereka yang hidup lebih susah daripada aku. Aku berpegang dengan kata-kata ibuku bahawa ilmu itu adalah harta yang paling bermakna dan tidak dapat ditukar ganti.  Aku pernah dan sedang merasakan kehidupan yang susah. Oleh itu, aku cuba mencari dan mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan dengan pengurusan kewangan dan cara menyimpan wang secara efektif melalui pembacaan dan video-video di Youtube. 

    Buku Enam Angka Menjelang Dua Puluh Lima adalah hadiah pemberian ibuku buat diri ini sebagai hadiah atas kecemerlangan aku dalam peperiksaan pada semester lepas. Tiga perkara yang menarik hasil daripada pembacaan buku ini. Yang pertama, aku tertarik dengan susunan bab di dalam buku ini. Bagi aku, penulis buku iaitu Azraei Muhamad telah memudahkan pembaca untuk memahami dunia pengurusan kewangan. Pada bab-bab yang terawal, beliau menceritakan berkaitan dengan saham dan lebih tepat lagi ASB. Beliau menceritakan akan kepentingan dan faedah yang dapat dimanfaatkan oleh pelabur. Pelaburan ini luas cabangnya, pelabur boleh melabur di ASN, saham unit trust, melalui emas dan sebagainya. Apa-apa pun tengok atas bajet dan keutamaan masing-masing. Tambahan, semakin besar jumlah duit yang dilaburkan, semakin tinggi pulangan komisen. Namun perlu diingat semakin tinggi juga risiko yang perlu dihadapi. Secara peribadi, aku tak berminat nak melabur dalam mana-mana agensi tetapi itu semua sebelum aku membaca buku ini. Selepas memahami konsep pelaburan itu sendiri aku fikir adalah lebih molek jika aku memberanakkan duit-duit aku berbanding hanya tersimpan rapi di dalam bank tanpa faedah atau komisen yang rendah. 

    Kedua, aku suka dengan bahasa penulis. Mungkin boleh aku katakan, bahasa yang digunakan tidaklah formal, mudah difahami dan santai. Pembaca akan dibawa dalam kehidupan dan pengalaman si penulis. Beliau juga ada selitkan kisah-kisah lucu yang menjadikan pembaca tidak lekang daripada senyuman. Antara kisah yang masih terngiang-ngiang dalam fikiran aku ialah kisah Hang Tuah dan Hang Jebat dalam bab main kutu. Penulis mendefinisikan main kutu mengikut kefahaman dan imaginasi beliau sendiri dan mengaitkannya dengan kisah si pendekar. Bagi aku, ini antara bab yang pendek dan kelakar kerana penulis berkongsi pengalaman bermain kutu bersama-sama rakan sejawatnya di pejabat buat pertama kali. Bahasa yang digunakan oleh penulis adalah bahasa perbualan kita seharian bersama rakan baik. Oleh itu, bagi anak muda yang baru mengenal dunia pengurusan kewangan, amat mudah untuk mereka faham dan pratikkan dalam kehidupan mereka seharian. 

    Yang ketiga, poin-poin disusun dengan baik dan penerangan yang santai tetapi sampai. Suka aku kongsikan sedikit buah fikiran daripada penulis. Dalam bab ke empat belas, iaitu Pelaburan Terpenting. Kata beliau pelaburan terpenting adalah pelaburan untuk diri sendiri. Persoalannya, apakah cabang atau cara pelaburan kepada diri sendiri? Tiga cabang yang penulis cuba sampaikan.

    Perlindungan Insurans atau Takaful

    Segelintir daripada kita akan merasakan ini suatu perkara yang membazir akan tetapi tidakkan kita tahu bila waktu kita ditimpa musibah atau bencana? Sekiranya kita ditimpa sakit atau kematian, setidak-tidaknya duit insurans nyawa itu dapat dimanfaatkan dan digunakan untuk membayar hutang si mati. Ia juga dapat mengurangkan beban kewangan si waris untuk meneruskan kehidupan selepas mereka kehilangan ahli keluarga.

    Melancong

    Melancong dapat memberikan kita suatu sudut pandang yang berbeza tentang dunia. Dengan melancong kita dapat belajar budaya dan adat resam dalam bangsa yang berbeza. Walaupun melancong memperuntukkan kos yang tinggi tetapi sekurang-kurangnya kita boleh jadikan melancong sebagai pembakar semangat untuk lebih berdisplin dalam menyimpan dan melabur.  

    Insurans Pendidikan

    Mungkin ramai yang tidak sedar akan kewujudan insurans ini ataupun ada yang sedar tetapi tidak merasakan kepentingannya. Kebiasaanya, peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sering membayar duit pinjaman mereka selepas tamat pengajian, selepas memperoleh pekerjaan dan mendapat gaji bulanan. Tetapi konsep bayar dahulu baru pinjam ini boleh dijadikan alternatif lain. Ibubapa perlu sedar akan kepentingan pembelajaran anak-anak, jadinya mereka yang berkemampuan boleh menyarum secara bulanan dalam akaun pendidikan anak seawal usia dua atau tiga tahun. Selepas beberapa tahun, anak itu dapat memanfaatkan duit pelajaran mereka tanpa perlu risau untuk membayar selepas tamat pengajian.

    Secara keseluruhan, buku ini telah menjadi titik tolak untuk aku lebih bersemangat menyimpan, melabur, dan mencapai enam angka sebelum aku berusia dua puluh lima. Jika dicatatkan satu per satu perkongsian dan buah fikiran si penulis, pasti penulisan ini akan tiada pengakhirannya. Untuk itu, aku mengajak pembaca di luar sana untuk membaca buku ini dan merasakan ketaajuban seperti mana yang aku rasakan. Setakat itu sahaja penulisan aku berkaitan Enam Angka Menjelang Dua Puluh Lima, karya Azraei Muhamad. Selamat membaca, berimaginasi dan bertindak. 

    Ditulis oleh: Puteri Tunggal
    Buku: Enam Angka Menjelang Dua Puluh Lima, karya Azraei Muhamad
    Sumber gambar: Visual Stories || Micheile, Unsplash 

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *.

    *
    *
    You may use these <abbr title="HyperText Markup Language">HTML</abbr> tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

    Have no product in the cart!
    0