• 5P1D Station x ETNT
  • Motivasi
  • Jadilah Berani Seperti Seekor Anak Burung!
  • Jadilah Berani Seperti Seekor Anak Burung!

    Saya memerhatikan dan menyedari bahawa antara kelebihan Datuk Dr Mohd Daud Bakar (MDB) ialah kemampuan untuk mencipta analogi dengan dimensi yang berbeza.

    Contohnya pagi tadi, beliau memberi perumpamaan tentang kehidupan seekor burung iaitu setiap pagi emak dan ayah burung akan keluar mencari makanan. Pertama untuk dirinya. Kedua untuk anak-anaknya yang baru menetas. MDB menceritakan tentang sifat burung-burung ini yang telah difitrahkan oleh Allah untuk keluar meninggalkan sarangnya untuk mencari rezeki demi kelangsungan hidup. Rezeki mereka bergantung kepada terbang mencari rezeki bak kata pepatah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

    Setelah emak dan ayah burung pulang ke sarang, mereka akan mengeluarkan beberapa ekor ulat untuk diberikan kepada anaknya yang telah siap sedia untuk makan. Begitulah kehidupan burung setiap hari. Lama-kelamaan anak burung tadi semakin hari semakin besar seiring dengan waktu. Daripada tidak ada bulu, sehinggalah lebat bulunya lalu menutupi seluruh badannya.

    Masa pun berlalu sehingga sudah tiba waktunya bagi anak burung pula bebas berani mencari rezeki. Itulah perasaan emak dan ayah burung. Cuba kita bayangkan, bagaimana kalau anak burung tidak berani terbang dan keluar daripada saranh? Barangkali disebabkan dia sudah rasa selesa menjadi anak yang sentiasa menerima makanan daripada emak ayahnya.

    Namun, ini bukan gaya hidup seekor burung iaitu yang hanya duduk di dalam sarang. Apabila sampai waktunya, seekor burung pasti akan terbang keluar dari sarangnya lalu mencari makanan sendiri. Itulah apa yang dilakukan oleh semua emak dan ayah burung iaitu menolak anak burung untuk terbang buat pertama kalinya.

    Kisah burung ini kemudian dibincangkan oleh beliau dengan menjadi analogi bagi kehidupan pemuda-pemuda dalam mengharungi kehidupan. Pada peringkat awal, memang kita memerlukan bantuan orang lain untuk terbang tinggi. Kita memerlukan ibu dan ayah seiring peningkatan usia untuk melindungi kita. Tetapi, pada satu hari, kita harus berdikari mengemudi kehidupan ini.

    Maka, terdapat satu sifat yang perlu kita bina di dalam diri iaitu keberanian. Keberanian bukan seperti bom yang tiba-tiba meletup. Tetapi keberanian itu mestilah dicipta dan dibina. Dulu mungkin kita seorang yang penakut, sekarang kita perlu berani mengambil risiko, menyahut cabaran, buat kerja lebih dan menjadi sukarelawan walaupun pudar penampakan hasilnya.

    MDB meneruskan lagi bahawa berani adalah satu sifat yang besar. Beliau tidak merujuk kepada kekuatan fizikal seperti gaduh dan gusti, malah keberanian untuk keluar daripada keselesaan hidup. Contohnya kita berani untuk membaca buku, buat ulasan buku dan hantarkan kepada semua medium untuk dimanfaatkan.

    Ketahuilah, tidak ada ajaran agama yang mengajar penganutnya untuk menjadi dayus dan penakut. Percayalah, keberanian adalah tonggak kehidupan. Semakin tajam kuku dan paruhnya, semakin berani dia mengharungi kehidupan.

    Kita mesti berani melakukan banyak kerja dalam tempoh masa yang singkat. Berani untuk kurang makan. Berani untuk kurang tidur. Walaupun begitu, keberanian sahaja tidak mencukupi. Kita perlulah menggandingkannya dengan tawakal kepada Allah subhanahu wa ta’ala. Di sini, MDB memberi contoh teladan dari kisah Nabi Ibrahim di mana kehidupan baginda dipenuhi dengan ujian. Namun, baginda terus berani dan bertawakkal kepada Allah dengan memecahkan berhala lalu dibakar hidup-hidup diikuti dengan arahan untuk meninggalkan isterinya sebatang kara di Makkah.

    وَإِذِ ٱبْتَلَىٰٓ إِبْرَٰهِۦمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَٰتٍ فَأَتَمَّهُنَّ
    Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya ….
    [Surah al-Baqarah 2: 124].

    Ujian demi ujian yang dilalui oleh baginda bukanlah untuk keberanian, melainkan untuk mempunyai tawakkal kepada Allah subhanahu wata’ala.

    Tak cukup dengan itu, baginda diberi arahan oleh Allah s.w.t untuk menyembelih anak lelaki sendiri.

    Begitulah kita sebagai anak muda dalam menghadapi krisis kehidupan dan melakukan kerja harian. Kita haruslah menyuburkan budaya ilmu, meluaskan pembacaan dan pada masa yang sama bertawakkal kepada Allah subhanahu wa ta’ala.

    Jadilah orang yang berani dan berfungsi untuk masyarakat.

    Walaupun perkongsian MDB hanya 15 minit, isinya padat dengan pengajaran.

    Akhir sekali, MDB menyimpulkan bahawa inisiatif 5pages1day ini walaupun kelihatan ‘simple’, tetapi amalan yang diringi dengan kesungguhan dan tawakkal akan mengeluarkan masyarakat daripada penjara kejahilan, ketaasuban dan penyakit minda yang tidak mahu terbang tinggi.

    Ditulis Oleh: Hakim Darno
    Sumber: FB Hakim Darno
    Sumber Gambar: Photo by Marty Southwell on Unsplash 

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *.

    *
    *
    You may use these <abbr title="HyperText Markup Language">HTML</abbr> tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

    Have no product in the cart!
    0