• 5P1D Station x ETNT
  • Cerpen
  • Gadis Uyghur & Harum Manis Malaysia
  • Gadis Uyghur & Harum Manis Malaysia

    Dua tahun telah berlalu. 

    Terasa seakan-akan baru semalam membuat transaksi pembelian tiket kapal terbang Etihad Airlines ke Istanbul.

    Dengan perasaan ghairah bersama tekad yang kuat untuk mengasah peribadi dan kekuatan bahasa Arab, aku mengumpul segala kekuatan yang masih tersisa sebagai pelajar undang undang pada tahun akhir untuk terus melangkah menuntut ilmu. Aku sudah terbayang-bayang situasi di dalam kelas bersama pendidik-pendidik berbanga Syria.

    Kali ini, aku menamatkan pengajian sebagai pelajar undang-undang dengan meneruskan pengajian ilmu Ekonomi, Sejarah Khilafah Abbasiyah dan Bahasa Arab dalam satu program Musim Panas selama tiga bulan. 

    Seolah olah istilah ‘lelah’ tidak wujud dalam kamus hidup aku ketika itu. 

    Disebabkan inilah Rasulullah amat menghargai generasi pemuda kerana pada kami terdapat tenaga yang kuat, tekad yang tinggi juga kekuatan minda. 

    Aku menutup komputer riba setelah selesai membuat pembayaran. Menarik nafas dalam kemudian menghembus laju. Hembusan lega! Syukur kerana diberi peluang sekali lagi untuk ke bumi Istanbul demi mengutip mutiara ilmu. 

    Tiba tiba, aku teringatkan seseorang. 

    Lekas jari jemariku menekan kata kunci telefon pintar lalu menaip nama seorang gadis pelarian yang kini menetap di kota Istanbul. 

    Aku terus memberitahu beliau dengan pesanan ringkas, 

    “Aku akan ke Istanbul lagi tahun ini.”

    Laju aku menerima mesej balas daripada gadis ini,

    “Nabihah! Benarkah kamu akan benar-benar datang? Aku mahu menjadi orang terawal yang menyambut kedatanganmu.”

    Aku tersenyum. Senyuman bahagia bersulamkan kerinduan sambil menaip,

    “Iya. Benar. Aku benar-benar datang kembali kepadamu.”

    “Sebaik saja kamu sampai sini, jangan lupakan aku. Beritahu aku dulu. Aku mohon. Aku mohon supaya menghubungiku walau apapun terjadi.” Aku tersentuh membaca mesej balasan dari beliau. 

    Entah kenapa. Aku merasakan yang beliau mengamati bicara ‘Aku benar benar datang kembali kepadamu’ dengan deria yang luar biasa. Seakan-akan beliau pernah merasai kehilangan yang membekas di hati. 

    “Iya, aku tak akan melupakanmu. Aku janji sebelum aku menaiki pesawat, aku akan menghantar mesej kepada kamu terlebih dahulu.”

    Balasku agar beliau tahu kalau aku mengutamakan beliau melebihi orang lain. Rasa rindu semakin menebal pada sosok tubuh gadis yang berasal dari Turkistan ini, lebih dikenali sebagai pelarian Uyghur. 

    Orangnya tak banyak bicara. Cerdik. Pemalu. Kadang kala sewaktu berbual, beliau mudah mengalir air mata setiap kali teringatkan keluarga di Xinjiang, Turkistan. 

    ———–

    Akhirnya, aku menjejakkan kaki kali kedua di Istanbul. Pada hari kedua keberadaanku di Istanbul, beliau pagi-pagi lagi sudah menaiki pengangkutan awam dari Istanbul Asia ke Istanbul Eropah hanya untuk menyantuniku. Tiga hari berturut-turut beliau datang dan kami banyak menghabiskan waktu bersama. 

    “Nabihah, esok aku datang lagi ya. Esok aku mahu membawa kamu ke restoran orang aku, Uyghur Restoran. Kamu orang Asia Tenggara, mesti lidah pedas kan? Restoran Uyghur makanannya pedas. Sedap! Aku akan belanja esok tau!”

    Tutur gadis cantik ini sambil mengukir senyuman di wajah.  

    Keesokannya, sebelum melangkah keluar dari asrama untuk bertemu gadis Uyghur ini, tiba tiba aku teringat bekalan ibu di dalam bagasi. Ibu membekalkan tiga biji buah Harum Manis Perlis sebagai bekalan di Istanbul. Entah kenapa pada hari ketiga dengan gadis Uyghur ini, aku  terasa untuk membawa sebiji buah tersebut di dalam bag. Tetapi aku terasa sedikit lucu di sini, kerana aku tidak membawa pisau bersama. Haha. Lucu bukan? 

    Kami pun berjalan-jalan di sekitar Kota Fatih sehingga sampai di kawasan masjid Sultan Muhammad Al Fatih. Kami duduk sambil mendengar khutbah Jumaat. Seusai solat Jumaat, aku pun bertanya kepada beliau,

    “Kamu pernah makan tak mangga? Mempelam ke?” 

    Beliau menjawab sambil tersenyum,

    “Dulu sebelum aku melarikan diri ke Istanbul, aku berada di Turkistan, aku selalu makan buah pelam mangga ni. Tapi sejak 6 tahun aku di Istanbul, aku sudah tak pernah makan lagi.”

    Aku meneruskan bertanya,

    “Kamu tahu buah Pelam Harum Manis? Buah ni terkenal di Thailand dan Perlis, sebuah negeri terkecil di Malaysia.”

    Beliau menggelengkan kepala, tak pernah tahu dan tak pernah makan Harum Manis. Aku pun megeluarkan sebiji buah Pelam Harum Manis dan mengupas menggunakan duit syiling Turki Lira yang telah dibasuh. Ini memang betul betul kreatif! Sambil mengupas sambil tertawa kerana terasa seperti di dalam hutan kem pengakap pula. 

    Sewaktu gigitan pertama beliau, beliau berhenti ketawa. Beliau tersenyum kelat sambil menikmati buah Harum Manis. Aku pun bertanya,

    “Sedap tak? Buah pelam ni, pelam paling sedap di Malaysia. Mahal buah ni. Tak semua orang dapat makan.”

    Beliau menjawab, “Sedap. Sedap sangat.” 

    Tiba tiba matanya berkaca kaca. Beliau menyambung,

    “Kalau buah sehebat dan sesedap ni boleh sampai kepada aku dalam keadaan aku tak pernah terfikir kewujudan buah ini dan tak pernah teringin untuk menjamahnya. Pasti kehendak dan keperluan aku yang selalu aku merayu kepada Allah untuk kembali bertemu keluarga aku di Xinjiang, Allah tahu dan dengar rintihan aku. 

    Aku sudah 7 tahun tak pernah dibenarkan untuk kembali menemui keluarga, tak pernah dapat khabar berita mereka, tak pernah dibenarkan saling menghubungi walaupun dengan email, pasti suatu hari nanti tanpa diduga berpeluang untuk saling melihat atau cukup saling tahu keadaan masing-masing bagaimana. 

    Aku hampir putus asa. Tapi selepas makan buah Harum Manis ni, aku kembali meyakini ‘miracle’ itu wujud.” 

    Bicaranya benar benar menembus hati dan aku sudah tidak mampu mengawal air mata. 

    Penderitaan Uyghur ini tak pernah tergambar di benak fikiranku sebelum ini.

    Aku memeluk tubuh kecilnya, melihat bibir merah jambu beliau sedang diketap rapat seakan-akan perasaan marah, rindu dan sedih bercampur baur.

    Marah kepada Kerajaan Cina yang menindas setindas-tindasnya rakyat minoriti Uyghur. 

    Rindu serindu-rindunya pada ibu ayah adik abang yang sedang sengsara di Turkistan. 

    Sedih yang sarat dengan kebencian terhadap kezaliman yang menjadi takdir bagi bangsa minoriti ini sehingga entah bila.

    Ditulis oleh: Nabihah Nawawi
    Sumber gambar: Emmanuel Dunand / AFP / Getty Images

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *.

    *
    *
    You may use these <abbr title="HyperText Markup Language">HTML</abbr> tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

    Have no product in the cart!
    0