• 5P1D Station x ETNT
  • Book Review
  • Penipuan-Penipuan Zionis yang telah Dipercayai Ramai
  • Penipuan-Penipuan Zionis yang telah Dipercayai Ramai

    Dalam sejarah Palestin yang panjang ini, hanya ada beberapa ketika pengaruh, iaitu peristiwa penaklukan Kanaan, 73 tahun kerajaan David dan Solomon, pembuangan negeri ke Babylon dan pulang kembali, juga siri revolusi yang gagal semasa pemerintahan Rom. Sedangkan 2,000 tahun sebelum kedatangan Bani Israel ini seolah-olah tidak diambil kira. Juga 2,000 tahun selepas kegagalan pemberontakan pada kerajaan Rom sehinggalah pembentukan Israel pada 1948 seolah-olah bukan bukti sejarah, seolah tiada apa yang berlaku sewaktu itu. (36)

    Dalam perbahasan mainan propaganda dogeng hak sejarah ini juga, Garaudy menyerang propaganda yang lain termasuklah propaganda bahawa Israel berjaya menukarkan Palestin dari padang pasir kepada kebun yang subur. Saya juga dahulu percaya akan dongeng ini, pernah sekali saya bawakan hal ini untuk dibincangkan dengan seorang profesor biologi tempatan, beliau langsung tidak nampak keajaiban, katanya sistem saliran air yang baik sudah cukup untuk menukar padang pasir kepada kebun. Antara frasa propaganda yang masyhur perihal hal ini bahawa Palestin adalah tanah gersang tanpa penduduk sebelum terbinanya negara Israel adalah frasa: “give a country without a people to a people without a country”. (37)

    Antara buku yang ditulis dengan penipuan bahawa Palestin sebelum Israel adalah tanah kosong tanpa penduduk adalah buku yang ditulis oleh Joan Peters bertajuk From Time Immemorial, buku ini diiktiraf sebagai pemalsuan fakta hatta oleh penyokong Israel sendiri. Buku Peters ini merupakan antara rujukan Alan Dershowitz dalam The Case for Israel, dimana Finkelstein membuktikan bahawa Dershowitz plagiat buku Peters ke dalam bukunya.

    Zionism sering mengatakan bahawa bangsa Palestin tidak wujud, tetapi mereka melawan, they did not exist but they resist, ini merupakan satu falasi logika yang serious, bagaimana sesuatu yang tidak wujud boleh wujud dalam masa yang sama. (37) Propaganda bahawa Palestin hanyalah padang pasir sebelum kedatangan Israel ini sangat mudah dipatahkan oleh Garaudy. Beliau membawakan data semasa penjajahan British bahawa Palestin merupakan pengeksport gandum dan buah oren. Malah menurut Peel Report 1937, eksport oren Palestin mendahului Amerika Syarikat, Sepanyol, dan negara-negara lain. (39)

    Antara bahagian dari mitos sejarah yang digunakan Zionism adalah mitos bangsa, mitos ini menyatakan kononnya bangsa Yahudi itu bersambung zaman berzaman. Ini merupakan sebuah fiksi dalam bentuk genealogi – hakikatnya bangsa Yahudi hari ini bukanlah keturunan satu bangsa, sebaliknya mereka telah bercampur dengan masyarakat setempat lain, hal ini kerana bangsa Yahudi sebelum penubuhan Israel terpecah ke dalam banyak negara dalam bentuk diaspora. Walaupun diakui, ada tokoh dalam bangsa Yahudi, seperti Nehemiah dan Ezra yang membawa ideologi bahawa bangsa Yahudi harus mengekalkan “purity” dengan tidak berkahwin silang dengan bangsa lain. (40) Israel hari ini memanipulasi pemikiran Nehemiah dan Ezra ini untuk tujuan kekuasaan politik walaupun kebanyakan yahudi di Israel dan di serata diaspora tidak lagi menganuti agama yang dianuti oleh bangsa yahudi dahulu kala. (41)

    Konsep “bangsa’ seperti yang kita fahami hari ini adalah rekaan Barat pada abad ke-19 untuk menjustifikasikan projek kolonial mereka. Konsep ini mengubah fahaman bangsa dari kumpulan yang memiliki bahasa yang sama kepada perbezaan biologi, mereka juga mencipta hiraki bangsa dan etnik bagi manusia. Semangat bangsa berdasarkan biologi ini lahir dari teori evolusi yang menganggap bangsa bukan Eropah sebagai bangsa primitif. (42)

    Kefahaman pseudo-saintifik yang lahir dari teori evolusi ini (juga dikenali sebagai social-darwinism dan diaplikasikan dalam eugenics) sering digunakan sebagai justifikasi untuk mendominasi bangsa lain dengan keganasan. Kemuncaknya adalah Nazism dimana Hitler sebagai contoh, dalam Mein Kampf menuduh yahudi membawa orang kulit hitam ke Jerman bagi merosakkan darah dan keturunan orang Jerman, walhal orang yahudi sendiri menjaga darah dan keturunan mereka. (43) Negara Israel hari ini menggunakan definisi rasis yang sama dalam mendefinisikan siapa yang layak diiktiraf sebagai orang Yahudi, iaitu mereka yang lahir dari wanita Yahudi atau beriman dengan agama orang Yahudi. Definisi ini adalah definisi rasis menurut Garaudy, kerana mereka yang diiktiraf akan mendapat keistimewaan manakala yang tidak akan tertindas. (43)

    Bagi Garaudy, sejarah dan biologi tidak dapat membentuk definisi bangsa yang jelas, dengan mencipta satu kumpulan bangsa yang terpisah dari sesebuah negara adalah mencipta mitos menurut beliau. Ini merupakan persamaan antara Zionism dan anti-semite, yang mahu mengasingkan Yahudi sebagai sebuah bangsa yang terpisah dari negara yang mereka duduki, kedua-dua ideologi ini membawa kepada natijah yang sama. (44) Dari sudut sejarah, apa yang disebut sebagai apiru atau habiru (Hebrews) adalah merujuk kepada kategori sosial, kumpulan yang menolak pemerintah, bukan sebagai satu kumpulan etnik tersendiri. (45)

    Kemuncak kepada ideologi kolonial Zionis ini adalah pengeluaran orang Yahudi dari negara-negara yang telah mereka duduki sekian lama ke sebuah tanah yang sudah mempunyai penduduk tetap. Hal ini dicapai bersama kolaborator British melalui pengishtiharan Balfour dimana satu negara menjanjikan kepada negara kedua sebuah negara yang dimiliki oleh negara yang ketiga. Walaupun deklarasi Balfour mempunyai klausa yang menekankan tanggungjawab untuk menjaga penduduk asal, ia tidak pernah dihormati oleh Israel. (47) Zionis juga semasa penubuhannya dibantu rakan kolaborator dari Amerika yang melobi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menekan negara-negara kecil dibawah orbitnya seperti Haiti, Liberia, dan Filipina untuk membahagikan tanah Palestin – walaupun negara-negara ini pada asalnya tidak bersetuju dengan rangka polisi ini.

    Tetapi tanah sahaja tidak mencukupi, kerana Israel bukan merupakan projek kolonial yang ingin menggunakan tenaga penduduk asal sebagai tenaga kerja, tetapi mahu menggantikan mereka, oleh itu penduduk asal perlu dicabut dari tanah-tanah mereka secara sistematik. (49) Maka bermulalah proses pembersihan etnik yang dilaksanakan dengan kejam oleh militia Yahudi seperti Haganah, Irgun dan Stern Gang yang membunuh, mengusir dan membakar kampung-kampung Palestin. Oleh itu, adalah tidak benar Israel ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tetapi ia ditubuhkan menggunakan keganasan yang dilaksanakan oleh perlbagai kumpulan militia dan para-militari Yahudi. (51)

    Oleh itu, kita melihat bahawa hujah sejarah ini telah roboh, ia tidak lebih dari sebuah propaganda. Kerajaan yang dikatakan menjadi asas kepada kerajaan hari ini, yang terbentuk 3,000 tahun dahulu hanya bertahan selama 73 tahun, itu pun mereka tidak pernah berusaha untuk mewujudkan kerajaan yang homogenous dengan hanya satu bangsa seperti yang dilakukan Israel pada hari ini. (53)

    Gerakan Zionis juga sering memainkan sentimen “perasaan ingin pulang” kepada bangsa Yahudi yang hidup di diaspora. Namun sentimen ini tidak mempunyai hujah sejarah, Judah Halevi (1075-1141) sebagai contoh, seorang ahli falsafah Yahudi yang membawa pemikiran yang sama semasa Muslim memerintah Sepanyol, beliau berhijrah dan berangkat ke Jerusalem, dan mati di pintu masuknya, tiada siapa yang mengikutinya. Begitu juga yang berlaku pada Nahmanides yang berhijrah ke Jerusalem, tiada pengikut yang mengikutinya. Apa yang menyebabkan orang Yahudi berhijrah ke Palestin adalah penindasan mereka di Eropah bukan sentimen “perasaaan ingin pulang”. (54) Gerakan politik Zionis mengeksploitasi fakta penindasan ini dan memberi kolonialisme sebagai solusi. (55)

    Oleh kerana persamaan tujuan antara Zionisme dan anti-semitisme, iaitu ingin mengeluarkan orang-orang Yahudi dari negara yang mereka duduki (diaspora), bagi Garaudy, Zionisme dan anti-semitisme adalah kembar. Zionisme ingin mengeluarkan orang Yahudi supaya projek nasionalis mereka berjaya, manakala anti-semite ingin mengeluarkan orang Yahudi dari negara mereka kerana kebencian mereka terhadap bangsa. (58)

    Garaudy juga mengkritik bagaimana Holocaust dimanipulasikan sebagai justifikasi kolonial Zionis. Mereka mengasingkan orang Yahudi sebagai bangsa eksklusif kekejaman Nazi Jerman, sedangkan berjuta-juta lagi kematian hasil kekejaman Hitler adalah bukan Yahudi seperti orang-orang Poland dan bangsa Slavik. Mengapa hanya kematian orang Yahudi dianggap suci? tanya Garaudy. Manipulasi Holocaust ini merupakan objek kajian Norman Finkelstein dalam bukunya Holocaust Industry. (61)

    Pada bab yang kedua, Garaudy membahaskan mitos kedua yang digunakan oleh Zionis sebagai justifikasi projek kolonial mereka, selepas mitos sejarah, mereka menggunakan mitos agama. Mitos ini sebenarnya bukan sahaja digunakan oleh orang Yahudi, tetapi juga digunakan oleh penyokong mereka dikalangan Evangelikal dan Kristian Zionis bahawa di dalam Bible, tanah Palestin dijanjikan tuhan kepada Bani Israel yang merupakan keturunan Nabi Ibrahim. Mitos ini digelar sebagai biblical myth yang menyatakan bahawa tanah jajahan mereka di Palestin itu adalah tanah yang dijanjikan tuhan kepada mereka (promised land). Mitos ini diulang-ulang oleh pemimpin Zionis seperti Golda Meir dan Menachem Begin. (69) Penunggangan agama untuk meneruskan agenda kolonial ini bagi Garaudy bukanlah satu perkara yang baru, ia digunakan oleh kuasa kolonial sepanjang zaman yang menganggap bangsa mereka superior, bangsa terpilih, malah tentera Nazi sendiri mempunyai frasa Gott mit uns pada helmet mereka yang bermaksud tuhan bersama kami. (70)

    Dalil yang digunakan dalam Bible bagi menghalalkan projek kolonial zionis adalah seperti di dalam Genesis dimana Tuhan dikatakan memberikan tanah Palestin kepada keturunan Ibrahim. Pada Garaudy penafsiran ayat ini oleh golongan Zionis merupakan tafsiran berbentuk “tribal” – iaitu tafsiran untuk keuntungan satu puak sahaja. Dalam masa yang sama beliau mempersoalkan bagaimana tafsiran suatu kitab suci itu boleh dipaksakan keatas golongan lain yang tidak mempercayai kitab tersebut? (73-74) Juga ayat-ayat dari Old Testament (Joshua di Jericho) digunakan, bagi menjustifikasikan pembunuhan beramai-ramai yang mereka lakukan. (75)

    Tafsiran yang dibuat oleh golongan Zionis bukan sahaja bersifat tribal, tetapi juga berbentuk selektif. Di mana ayat-ayat yang boleh menjustifikasikan pembunuhan dan keganasan diketengahkan, manakala ayat-ayat perihal keamanan dan persaudaran manusia diketepikan. Ayat-ayat seperti kepentingan menghormati jiran dan orang yang tidak dikenali seperti dalam Deuteronomy dan Exodus tidak diamalkan. (76-77) Bagi Garaudy, Bible tidak boleh dibaca sebagai buku sejarah yang objektif, kerana banyak cerita dan peristiwa yang diceritakan tidak dapat dibuktikan melalui metodologi pensejarahan. (78) Antara ahli akademik yang saya minati dalam pengkajian Bible dari perspektif sejarah adalah Bart Ehrman, namun pengkajian beliau memfokuskan tentang New Testament kerana ia lebih terkemudian dan boleh dinilai dari sudut pensejarahan melalui rekod yang ada. Namun hasil kajian Ehrman banyak bercanggah dengan doktrin Kristian menyebabkan beliau tidak disukai oleh golongan Evangelical.

    Bagi Garaudy, penafsiran sepatutnya mengajar kita untuk menjadi lebih manusiawi, memberikan manusia erti untuk hidup dan untuk mati. (79) Penafsiran ayat perihal perjanjian untuk mewarisi tanah harus dilihat secara suksesif, pertama ayat yang menjanjikan tanah bagi golongan nomad, kemudian tanah untuk bernegara, dan yang ketiga adalah tanah untuk diwarisi oleh semua manusia. Ini penafsiran yang lebih lengkap, bukan terhenti pada strata kenegaraan dan mengimport idea nasionalis Eropah yang asing pada zaman tersebut. (82) Akhir sekali, dalam perbahasan biblical myth, Garaudy menerangkan bahawa janji Tuhan kepada Ibrahim bukanlah perwarisan berbentuk bangsa, tetapi perwarisan kepada siapa yang mengikuti ajaran dan agama Nabi Ibrahim. (85)

    Saya merasakan penerangan Garaudy perihal biblical myth ini tidak begitu mendalam dan komprehensif sebagai mana beliau menghuraikan historical myth. Mungkin kerana latar bidang akademik beliau yang lebih bersifat falsafah dan sejarah, bukan dalam bidang penafsiran Bible. Namun kesimpulan beliau tidaklah berbeza dengan ahli dalam bidang penafsiran Bible. Contohnya seperti apa yang ditulis oleh Gary M. Burge dalam bukunya Whose Land? Whose Promise? What Christians Are Not Being Told about Israel and the Palestinian, pada mukasurat 290 beliau membuat kesimpulan bahawa “Therefore the Zionist idea was not born from the Bible but from ethnic nationalism that also gave birth to other nations such as 1930s Germany with all their attendant problems. Christian Zionist who envisions Herzl rebuilding Israel with a Bible under one arm are naive to the realities of history”. 1930 adalah zaman pemerintahan Paul von Hindenburg yang kemudian melantik Hitler sebagai Chancellor German. Baik, siapa Gary M. Burge?

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *.

    *
    *
    You may use these <abbr title="HyperText Markup Language">HTML</abbr> tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

    Have no product in the cart!
    0